Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob beramah mesra dengan masyarakat orang asli ketika hadir ke Majlis Ramah Mesra Bersama Penduduk Kampung Chuat, Bera, hari ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

PENGERUSI Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu melakukan permohonan maaf dan menarik balik tuduhan kononnya terdapat anggota tentera mengundi awal hari ini.

Itu penegasan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mahu permohonan maaf itu dilakukan terhadap Angkatan Tentera Malaysia (ATM) rentetan tuduhan tersebut.

Menurut Ismail Sabri, dakwaan yang dilakukan Anwar bukan sahaja mencemarkan imej ATM di Bera tetapi di seluruh negara yang selama ini berkhidmat mempertahankan negara.

“Tuduhan mengatakan tentera dibayar ini tuduhan jahat. Jangan hina anggota tentera. 

“Saya minta Anwar tarik balik tuduhan tersebut dan minta maaf (tapi) bukan pada saya tetapi kepada anggota tentera kerana tuduh mereka terima wang dan sebagainya,” katanya. 

Ismail Sabri berkata demikian pada sidang media ketika menghadiri program ramah mesra bersama masyarakat orang Asli di Kampung Bongkok, Kampung Chuat dan Kampung Bukit Gemuruh, Pahang.

Baca lagi: Ismail Sabri arah semua agensi bantu Keluarga Malaysia dilanda banjir

Terdahulu, Anwar ketika berucap di majlis ramah mesra di Kuala Terengganu hari ini mendakwa ada anggota tentera khususnya dalam kawasan parlimen Bera di Pahang sudah mengundi untuk Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Anwar yang juga Presiden PKR turut mendakwa anggota tentera terbabit dibayar sebanyak RM300 untuk berbuat demikian.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri turut tidak menolak kemungkinan dakwaan undi awal itu adalah undi pos kepada anggota keselamatan.

Jelas Ismail Sabri, anggota keselamatan boleh memohon untuk mengundi secara pos jika mereka tidak dapat hadir semasa hari mengundi awal kerana bertugas. 

“Mengikut Akta Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), kita ada kategori undi pos, ada undi awal dan undi biasa,” katanya. 

Untuk rekod, SPR menetapkan 15 Nov sebagai hari pengundian awal manakala hari pengundian adalah pada 19 Nov ini. 

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram