Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli GAMBAR: Abd Razak Aid

“SAYA rasa dia tak faham RM16 juta itu adalah atas kertas. Duit saya RM63,000 dalam bank.”

Itu kata Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli berhubung gesaan Pertubuhan Jalinan Perpaduan Negara yang mahu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat harta lebih RM18 juta yang diisytihar calon Pakatan Harapan (PH) bagi Parlimen Pandan itu.

Justeru, Rafizi mengalu-alukan SPRM untuk menyiasat hartanya yang berjumlah RM18.85 juta.

Menurut Rafizi, tidak timbul soal daripada mana datangnya wang berjumlah RM18 juta kerana ia merupakan dana kepada syarikat.

Rafizi juga secara sinis berkata sukar menjelaskan kepada Presiden Pertubuhan Jalinan Perpaduan Negara, Syed Mohammad Imran Syed Abdul Aziz kerana individu itu adalah orang yang sama merayu meminta pembebasan Datuk Seri Najib Tun Razak di Istana Negara.

Rafizi menjelaskan, tuduhan bahawa beliau mempunyai wang sebanyak itu tidak tepat kerana sebahagian besar adalah nilai di atas kertas sahaja.

“Kalau anda tengok Elon Musk yang mempunyai kekayaan beratus bilion, kalau kita periksa dalam akaun bank, tiada jumlah beratus bilion dalam banknya. Ia melalui pegangan saham.

Baca artikel berkaitan: Aset Rafizi: KDN hanya siasat jika terdapat keperluan

“Duit saya dalam bank RM63,000. Dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) RM1 juta lebih.

“Saya lebih daripada gembira jika SPRM nak siasat cuma buang masa SPRMlah,” katanya dalam sidang media, hari ini.

Syed Mohammad Imran semalam berkata, beliau mempersoalkan deklarasi aset Timbalan Presiden PKR itu dengan RM16 juta diperoleh melalui pegangan saham dalam syarikat yang diasaskannya sendiri.

Mengulas lanjut Rafizi berkata, beliau percaya Syed Mohammad Imran tidak tahu mengenai Akta SPRM.

Katanya, ini kerana kesalahan rasuah di dalam akta itu membabitkan apabila terdapat penjawat awam atau korporat yang memegang amanah dalam sesuatu organisasi, kemudian telah menyalahgunakan amanah itu bagi tujuan mengayakan dirinya dengan memberi sesuatu kepada pihak lain yang tidak sepatutnya.

“Jadi bagaimana saya mahu disiasat dengan rasuah sebab saya tiada kena mengena dengan orang. Ini syarikat saya, saham saya. Ia tidak membabitkan kontraktor, kontrak kerajaan atau pegawai kerajaan.

“Jadi ia hampir seperti SPRM kena pergi siasat mak cik jual nasi lemak sebab nasi lemak dia laku.

“Jujurnya, saya terhibur, tapi saya lebih bimbang contohnya kalau SPRM menghabiskan masa,” katanya.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram