BEKAS penyerang terbaik Asia Tenggara dan lagenda bola sepak tanah air, Safee Sali akan turut turun memeriahkan Karnival #KeluargaMalaysia: Anak Muda Gegor Bera yang akan berlangsung di Dewan Konvensyen Bera, Pahang esok.

Pemain berusia 38 tahun itu berkata, semasa berada di karnival, beliau akan menyertai pasukan juara Kejohanan Liga Profesional Mobile Legends (MPL) MY Musim Ke-10, Team Haq Esports Club dalam acara Santai eGames di karnival itu.

Safee yang merupakan duta kepada pasukan Team Haq Esports Club sejak Mac tahun lepas berkata, beliau sangat teruja dapat menyertai program yang akan turut dihadiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Saya gembira diberikan peluang untuk turut serta dalam acara bersama kepemimpinan tertinggi negara dan Keluarga Malaysia yang lain di Bera, esok.

“Selain dapat mendekatkan diri dengan peminat-peminat e-sukan, pada masa yang sama kita semua dapat menyemarakkan semangat Keluarga Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kedatangan penyerang KL City FC itu ke Bera juga bagi memberikan sokongan beliau kepada industri e-sukan yang semakin berkembang di Malaysia.

Safee sebelum ini pernah menyatakan hasratnya untuk menubuhkan pasukan e-sukan miliknya sendiri jika mempunyai peluang memandangkan indusri sukan itu ketika ini mencetuskan fenomena luar biasa.

Katanya, golongan belia khususnya cukup minat dengan permainan video e-sukan dan ia adalah perkembangan positif terutama apabila industri ini menjanjikan pulangan yang lumayan.

Baca artikel berkaitan: Juara MPL MY (10), Team Haq akan meriahkan Karnival Anak Muda Gegor Bera

Safee, anak kelahiran Kajang, Selangor, dikenali sebagai penyerang terbaik Malaysia semasa generasinya dan pernah juga dibandingkan dengan lagenda Allahyarham Mokhtar Dahari.

Raja Bola Malaysia, Datuk Abdul Gahni Minhat juga menganggap Safee penyerang terbaik di Malaysia, di samping bermain secara profesional di luar Malaysia.

Safee turut mencipta rekod sebagai pemain Malaysia pertama beraksi di dua final Piala AFC, selain menjadi pemain bola sepak Malaysia pertama yang bermain di dalam Liga Super Indonesia dengan pasukan Pelita Raya Jaya.

Selain Safee dan Team Haq, penyanyi rock terkenal tanah air, Datuk Amy Search dan bintang muda Anna Jobling pula bakal menggegarkan Konsert Anak Muda Gegor Bera yang akan berlangsung di Dataran Kerayong, Bera, pada 8.30 malam.

Turut berkongsi pentas ialah beberapa penyanyi terkenal tanah air dan artis seperti Hael Husaini, Nizam Laksamana, Fazli Zainal, Santesh, dan Lock Up.

Karnival yang bakal dirasmikan oleh Perdana Menteri diadakan bagi mencungkil bakat golongan belia dalam e-sukan, yang kini telah muncul sebagai kerjaya sukan di peringkat antarabangsa.

Menerusi acara Santai eGames anjuran Miat Quadra Esport Club, sebanyak 190 peserta daripada 38 pasukan akan berentap, termasuk melibatkan anak-anak muda seluruh Bera dan kawasan sekitarnya.

Karnival yang dianjurkan dengan kerjasama Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Perbadanan Pembangunan Manusia Berhad (HRDCorp) itu, antara lain turut melibatkan tawaran 2,000 kerja menerusi program JaminKerja.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram