Calon Barisan Nasional Parlimen Sungai Buloh, Khairy Jamaluddin. GAMBAR: Abd Razak Aid

KHAIRY Jamaluddin masih menganggap dirinya sebagai ‘underdog’ (bukan pilihan) di kawasan Parlimen Sungai Buloh pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), 19 Nov ini.

Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi itu berkata beliau berusaha berjumpa seramai boleh pengundi sebelum hari pengundian, selain menggunakan platform media sosial untuk berkempen.

“Kita dah menghampiri ‘separuh masa’ kempen dan ada separuh masa lagi. Insya-Allah akan cuba yang terbaik (tetapi) ia bukanlah mudah,” katanya selepas merasmikan Majlis Pelancaran Pengoperasian Hospital Cyberjaya hari ini.

Pada PRU14, kerusi Parlimen Sungai Buloh dimenangi R. Sivarasa dari PH (PKR) selepas memperoleh majoriti 26,634 undi menewaskan Nuridah Salleh dari PAS, A Prakash Rao (BN) dan Zainurizzaman Moharam dari Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Bagi PRU15, Parlimen Sungai Buloh menyaksikan pertembungan tujuh penjuru membabitkan Khairy, Datuk R Ramanan (PH), Mohd Ghazali Md Hamin (Perikatan Nasional), Mohd Akmal Mohd Yusof (Pejuang) dan Ahmad Jufliz Faiza (Parti Rakyat Malaysia) serta dua calon bebas iaitu Syed Abdul Razak Syed Long Al Sagoff dan Nurhaslinda Basri.

Baca artikel berkaitan: KJ lawat mangsa banjir di Kampung Melayu Subang

Mengulas mengenai banjir di Kampung Melayu Subang dan Taman Setia Warisan di Sungai Buloh semalam, Khairy yang juga Menteri Kesihatan berkata terdapat keperluan menambah baik sistem tebatan atau mitigasi banjir di kawasan tersebut.

“Ramai boleh kata banjir adalah kesan perubahan iklim, tetapi saya tengok ada banyak kemudahan dan projek tebatan banjir mesti diperhebatkan. Ban yang menahan air sungai di Taman Setia Warisan tidak cukup panjang menyebabkan air melimpah ke kawasan perumahan.

“Jadi jika saya dipilih sebagai Ahli Parlimen nanti, kena duduk sekali dengan kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan dan agensi kerajaan untuk kita buat pemetaan kawasan risiko tinggi dan kita akan cadangkan penyelesaian yang holistik,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Khairy berkata Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan mempunyai potensi besar untuk menang di kerusi Parlimen Rembau.

Khairy yang pernah menyandang kerusi Rembau selama tiga penggal berkata Mohamad atau mesra disapa ‘Tok Mat’ bukanlah wajah asing di kawasan itu.

— BERNAMA

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram