Ketua Pengarah AADK, Tuan Sutekno Ahmad Belon. GAMBAR AADK

INISIATIF Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) menubuhkan kumpulan sistem sokongan antara faktor kejayaan pengekalan kepulihan klien yang mengikuti program rawatan dan pemulihan di agensi itu.

Ketua Pengarah AADK, Tuan Sutekno Ahmad Belon berkata, kumpulan sokongan tersebut terdiri daripada Ahli Jawatankuasa Pemulihan Dadah Daerah (JKPD), Ahli Lembaga Pelawat (ALP), Pembimbing Rakan Sebaya (PRS) dan Mentor Kepulihan AADK dari seluruh negara.

Kata beliau, fungsi dan peranan kumpulan berkenaan amat penting untuk memenuhi keperluan kepulihan seseorang individu dalam proses pemulihan.

“Kita sedia maklum, apabila kita ingin melakukan usaha-usaha memulihkan dan mengekalkan kepulihan kepada mereka, kita perlu menyediakan empat Modal Kepulihan, seperti Modal Insan, Modal Sosial, Modal Ekonomi dan Modal Budaya atau Agama kepada setiap klien kita.  

“Justeru itu, segala usaha yang diberikan kepada klien adalah Modal Sosial yang merupakan salah satu komponen penting dalam Model i-Pulih AADK.

“Maka atas dasar itulah, entiti-entiti seperti JKPD, ALP, PRS dan Mentor Kepulihan AADK diperkukuhkan dari semasa ke semasa dan menjadi Rakan Pintar paling akrab AADK, ibarat seperti ‘Aur dengan Tebing’. Tidak lengkaplah usaha-usaha kepulihan tanpa komitmen dan sokongan ini,” katanya.

Baca artikel lain: Operasi KIB AADK kekal dengan kerjasama komuniti

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan program Hari Apresiasi Kepulihan Peringkat Kebangsaan 2022, pada Khamis.

Mengulas lanjut, Tuan Sutekno berkata, program yang bertemakan ‘Kebersamaan Pemangkin Pengekalan Kepulihan’ itu diadakan sebagai platform AADK mengiktiraf dan menghargai jasa, pengorbanan, masa, tenaga serta wang yang dicurahkan dalam membantu dan menyokong usaha-usaha merawat pulih pelanggan di peringkat negeri, daerah mahupun Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN).

“Saya difahamkan, seramai 315 terdiri daripada JKPD, ALP, PRS dan Mentor Kepulihan AADK hadir pada malam ini.

“Ini jelas menunjukkan lambang kebersamaan, sokongan, komitmen dan kesepakatan dalam merealisasikan aspirasi bahawa kepulihan adalah tidak mustahil untuk dicapai,” ujarnya.

Sementara itu, beliau menambah, program yang diadakan selama dua hari itu menyediakan pelbagai pengisian menarik dan berinformasi selain berkongsi amalan terbaik dalam usaha memperkasakan komuniti bagi pengekalan kepulihan klien yang disampaikan sendiri oleh wakil di kalangan mereka.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram