PENYANYI Najwa Latif,27, sah bergelar isteri kepada lelaki pilihannya, Akwa Arifin,30 dengan hanya sekali lafaz tepat pukul 8.30 pagi, hari ini.

Pasangan itu dinikahkan oleh jurunikah Abdul Ghani Abdul Rahim dalam majlis tertutup dan dihadiri keluarga kedua belah pihak yang diadakan di sebuah hotel di Batu Pahat, Johor.

Najwa menerima mas kahwin berupa 2.5 gram emas. Manakala hantaran di rahsiakan.

Najwa dan Akwa yang juga merupakan penyanyi rap itu akan diraikan dalam majlis resepsi selepas solat Jumaat di lokasi sama, hari ini.

Sementara itu, menerusi perkongsian di Instagram Najwa, dia turut memuat naik gambar pernikahannya.

“Alhamdulillah, kami dah grad,” tulisnya di ruangan kapsyen.

Pasangan itu pernah merakamkan lagu bersama menerusi Dua dan Tak Kisah Pun.