DI sana sini negara kita sedang hangat dengan kempen-kempen politik sempena menjelang hari mengundi yang akan berlangsung pada 19 November ini.

Pilihan raya diadakan di semua negara-negara demokrasi di seluruh dunia. Lazimnya yang kita ketahui, calon-calon akan bertanding untuk memenangi hati pengundi.

Namun, pernahkah anda mendengar calon pilihan raya yang terdiri daripada bukan manusia? Aneh, bukan? Tapi, ia memang benar-benar berlaku.

Ini antara pilihan raya aneh yang pernah terjadi.

1.Bedak Kaki

Picoaza merupakan sebuah bandar kecil dalam wilayah Manabi di Ecuador. Pada tahun 1967, diadakan pilihan raya kecil untuk memilih datuk bandar di situ. Ketika itu, Picoaza mempunyai populasi penduduk sekitar 4,000 orang.

Apa yang anehnya, sebuah jenama bedak kaki iaitu Pulvapies turut sama dicalonkan. Pada awalnya, syarikat pengeluar bedak itu hanya suka-suka menjalankan iklan dengan tema berkempen, menggunakan jenama bedak tersebut dengan slogan ‘Vote for any candidate, but if you want well-being and hygiene, vote for Pulvapies’ (Undilah mana-mana calon, tapi jika anda mahu kesejahteraan dan kebersihan, undilah Pulvapies).

Syarikat itu turut mengedarkan risalah sebagai kempen untuk penduduk memilih bedak kaki mereka menjadi Ahli Majlis Kerajaan Tempatan.

Keputusannya pula di luar jangkaan. Penduduk di situ benar-benar mengundi memilih bedak Pulvapies yang mendapat undian tertinggi kerana calon-calon yang bertanding tidak begitu digemari penduduk. Daripada pilih orang yang tidak mereka gemari, lebih baik pilih bedak. Hmmm….

Pengundi lagi suka bedak ni daripada calon manusia.

2.Duke Si Datuk Bandar

Cormorant merupakan sebuah pekan kecil dalam wilayah Minnesota di Amerika Syarikat. Tahukah anda, datuk bandar pekan ini ialah seekor anjing bernama Duke?

Penduduk bandar ini seramai lebih kurang 1,000 orang majoritinya telah mengundi anjing gunung ini sebagai ‘ketua’ mereka.

Duke diundi dan menang sebagai Datuk Bandar pekan itu pada tahun 2014. Malah, anjing ini mampu menang empat penggal berturut-turut dalam pilihan raya jawatan itu.

Kali terakhir Duke menang pilihan raya di situ pada Mei 2017. Sayangnya, Duke tidak dapat meneruskan tugasnya sebagai ketua bandar itu apabila menghembuskan nafas terakhir pada 2019.

Duke, anjing yang berkhidmat untuk rakyat pekan Cormorant sehingga ke nafasnya yang terakhir.

3.Bosco Ramos

Bosco Ramos, merupakan seekor anjing yang dipilih menjadi datuk bandar oleh penduduk di Sunol, sebuah kota kecil dalam wilayah California di Amerika Syarikat.

Anjing hitam baka Labrador ini berjaya mengalahkan dua calon lain untuk memenangi pilihan raya pada tahun 1981 dan berkhidmat sebagai datuk bandar itu sehingga ia mati pada tahun 1994.

Sebuah tugu peringatan dibina di hadapan pejabat pos pekan itu untuk memperingati Bosco.

Tugu peringatan Bosco.

4.Cimpanzi Paling Banyak Undian

Macaco Tiao merupakan seekor cimpanzi yang lahir pada 1963 dan tinggal dalam zoo di Rio De Janeiro, Brazil. Dalam pilihan raya tahun 1988 yang merupakan pilihan raya pertama negara itu selepas berakhirnya pemerintahan diktator, Tiao turut bertanding sebagai datuk bandar Rio De Janeiro.

Tiao dijadikan calon sebagai alternatif kepada mereka yang tidak percaya dengan calon sedia ada termasuk gerakan yang mahu merosakkan undi. Apa yang mengejutkan, monyet ini berjaya mendapat hampir 400 ribu undi, malah meletakkannya di tempat ketiga daripada senarai 12 orang calon yang bertanding.

Walaupun tidak menang dan kertas undiannya dianggap tidak sah dan dibatalkan, Tiao diiktiraf oleh rekod dunia Guinnes sebagai cimpanzi yang paling banyak mendapat undian manusia.

Tiao, cimpanzi yang mendapat hampir 400 ribu undi.

_____

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram