Calon Barisan Nasional Parlimen Sungai Buloh, Khairy Jamaluddin melawat mangsa banjir di Kampung Melayu Subang. GAMBAR: Abd Razak Aid

CALON Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Sungai Buloh, Khairy Jamaluddin memiliki percaturan ‘membersihkan’ UMNO pada masa hadapan sekiranya terus diberi kepercayaan oleh rakyat.

Katanya, usaha itu bagi membolehkan orang Melayu memiliki wadah politik mulia dan boleh dibanggakan seperti suatu masa dahulu.

Jelasnya, semua ini berdasarkan maklum balas masyarakat yang masih mendukung UMNO namun tidak menggemari beberapa individu di dalamnya.

“Saya tak mahu berhenti di Sungai Buloh semata-mata kerana bertanding di sini cabaran terbesar dalam kerjaya politik saya. Nak menang di sini bukan mudah, tetapi kalau saya menang, saya nak bawa kita semua, bukan sekarang tetapi mungkin lima atau 10 tahun akan datang untuk menerajui pimpinan negara.

“Saya juga mahu bawa perubahan kepada parti saya (UMNO) dan mahu UMNO dilihat semula sebagai wadah mulia untuk masyarakat Melayu.

“Saya dan rakan lain mahu kembalikan UMNO sebagai wadah Melayu yang mulia, bersih, berubah dan memiliki pemimpin bagus dan mampu diberi kepercayaan seperti suatu ketika dahulu,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

Baca artikel lain: Khairy garis 4 elemen utama kata janji dalam manifesto untuk penduduk Sungai Buloh

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Silaturrahim bersama Pertubuhan Amal Kebajikan Agama dan Masyarakat (PERAKAM) di Kelab Rahman Putra, malam semalam.

Mengulas lanjut, Khairy mahu UMNO diperbetulkan semula dan kembali ke pangkal jalan.

Malah, beliau mahu memenangi pilihan raya umum kali ini bagi membolehkan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob diangkat menjadi Perdana Menteri.

“Ini kita cakap yang benar. Janganlah berselindung lagi. Orang Melayu sentiasa ada (perasaan) sentimental terhadap UMNO. Cuma UMNO ini dah sesat dan perlu kembali ke pangkal jalan dan perlu diperbetul semula.

“Saya nak menang PRU-15 untuk memastikan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri. Selepas itu kita bersihkan semula UMNO serta bawa balik keyakinan rakyat.

“Saya ini reformis dalam UMNO dan tak boleh kunci mulut saya. Sebab itulah dihantar ke Sungai Buloh. Kalau tiada sesiapa berani ketengahkan, sampai bila-bilalah tak akan berubah.

“Sebab itulah pertaruhan saya kali ini bukan semata-mata untuk Sungai Buloh sahaja tetapi untuk masa depan negara, UMNO dan BN. Kalau saya menang insya-Allah kita boleh melihat perubahan besar. Bermula dari Sungai Buloh dan berakhir ke Putrajaya,” katanya.

Mengulas cabaran bertanding di Parlimen Sungai Buloh, Khairy berkata, beliau berani menyahut cabaran berlawan di negeri yang dikuasai Pakatan Harapan (PH) sejak 2008.

Justeru, beliau berharap penduduk Sungai Buloh dapat bersama-sama menyokong misinya yang lebih besar untuk bergerak dan memimpin negara pada masa akan datang.

“Julung kalinya, ada wakil daripada parti saya (UMNO) yang memegang jawatan dalam jemaah menteri, yang berani untuk bertanding (di kawasan tidak selamat) di Selangor.

“Selama ini tokoh besar dalam parti saya selalu cuba, dan memilih kawasan selamat. Sebab itu tiada saingan yang hebat di Selangor. Kalau dulu yang menang Tan Sri Noh Omar saja. Itu pun di Tanjung Karang.

“Nak datang sedikit bandar macam Sungai Buloh tiada siapa yang berani. Kuala Selangor pun tiada yang berani, kecuali Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz (Menteri Kewangan) pergi ke Kuala Selangor. Biarpun ada sedikit kenyataan saya dan Presiden (yang berbeza), akhirnya saya juga yang pilih untuk lawan di sini,” katanya.

Sementara itu, beliau memberi jaminan akan kerap mengunjungi Sungai Buloh jika berjaya menawan kawasan itu sekali gus menyangkal tohmahan wakil rakyat hanya boleh dilihat secara bermusim.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram