Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz. GAMBAR: Abd Razak Aid

KEMENTERIAN Kewangan menyerahkan kepada mahkamah berhubung dakwaan Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli mengenai isu kelulusan projek rancangan tebatan banjir Sungai Langat 2 secara rundingan terus selepas pembubaran Parlimen.

Menterinya, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, perkara tersebut biarlah ditentukan oleh proses perundangan.

“Saya difahamkan Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man (Menteri Alam Sekitar dan Air) telah pun buat tindakan undang undang.

“Proses perundangan sedang bermula, jadi saya biarkan mahkamah untuk membuat keputusan,” katanya pada sidang media di Kuala Selangor, hari ini.

Baca artikel lain: SPRM semak laporan dakwaan kelulusan projek tebatan banjir – Azam Baki

Sebelum ini, Rafizi mengemukakan beberapa dakwaan dan meminta Tuan Ibrahim menjawabnya berhubung kelulusan projek tebatan banjir bernilai RM2 bilion dibuat selepas pembubaran Parlimen.

Khamis lalu, Tuan Ibrahim dilaporkan bersedia mengambil tindakan undang-undang terhadap Rafizi berhubung dakwaan tersebut.

Mengikut laporan yang disiarkan portal rasmi PAS, surat tuntutan telah diserahkan kepada Rafizi melalui firma guaman Yusfarizal Aziz & Zaid.

Berdasarkan surat tuntutan itu, Rafizi diminta untuk mengeluarkan satu draf permohonan maaf dalam tempoh tujuh hari daripada tarikh surat itu dikeluarkan.

Sementara itu Tengku Zafrul melalui Twitter beliau menjelaskan, sekiranya terdapat pelanggaran, Rafizi diminta membuat laporan dan mengemukakan bukti kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Katanya, Rafizi tidak perlu menunggu sehingga memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) untuk membuat laporan.

“Semua perolehan dibuat mengikut peraturan sedia ada dan Tuan Ibrahim pun sudah serah surat tuntutan (LOD) kepada Rafizi.

“Kita tunggu sama ada kes ini dibicarakan di mahkamah atau tidak,” katanya lagi.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram