Bagaimana Islam menilai kecerdikan
Sekadar gambar hiasan

Sewaktu lahir berat otak bayi sekitar 375 hingga 400 gram. Selepas umur sebulan berat otak bertambah menjadi 1 kilogram. Setelah dewasa berat otak lelaki sekitar antara 1,350 hingga 1,410 gram manakala berat otak perempuan sekitar 1,230 hingga 1275 gram. Berat ini adalah standard untuk semua orang.

Kajian yang dibuat secara literal mendapati ibu yang mengalami tekanan perasaan akan memberi kesan terhadap bayi di dalam kandungannya. Manakala ibu yang dekat dengan Allah, banyak melakukan amal ibadat dan berzikir serta mengaji al-Quran akan memberikan elemen yang menenangkan untuk perkembangan bayi.

Jadi ini menunjukkan pembentukan sel saraf otak bergantung kepada rangsangan dan sokongan yang diterima. Jika rangsangan dan sokongannya baik maka baiklah perkembangan selnya, jika tidak sebaliknya yang berlaku.

Menjelaskan hal ini Dr. Sufian Adenan, Pakar Neurologi Hospital Kuala Lumpur (HKL) berkata, sel-sel saraf dalam otak akan mula berfungsi apabila telah dibalut oleh pembalut saraf yang disebut myelin. Jika dibaluti dengan myelin yang hebat maka otak akan menjadi cerdas, pantas dan hebat. 

“Jadi bagi memastikan perkembangan sel saraf otak baik perlukan kepada sumber makanan yang baik dan berkhasiat, persekitaran dan udara yang segar, lingkungan keluarga yang sakinah dan berbagai-bagai faktor positif yang lain lagi.       

 Sebab itu orang yang tinggal dalam lingkungan dan persekitaran yang baik akan berpotensi untuk menjadi seorang yang baik dan cemerlang dalam hidupnya. Ini kerana sel saraf otaknya dibaluti oleh myelin yang baik yang menjadi penghubung kepada sel-sel saraf di dalam otaknya. Maka orang itu berpotensi untuk mempunyai kecerdasan dan tahap IQ yang tinggi,” ujarnya.

Maksima penggunaan otak

Secara umumnya setiap orang dilahirkan dengan memiliki keupayaan IQ yang sama. Namun, ada sesetengahnya mengalami IQ rendah. Misalnya, kanak-kanak slow learner, tidak boleh membaca dan berbagai lagi. Puncanya, mungkin berlaku kerosakan semasa pembentukan sel-sel saraf otak, masalah genetik, trauma yang dialami oleh ibu sewaktu mengandung, pengambilan ubatan tertentu yang memberi kesan sampingan pada bayi dan lain-lain faktor lagi.

Namun begitu menurut Dr. Sufian, bagi mereka yang normal keupayaan otak adalah sama cuma apa yang membezakan seseorang itu memiliki otak yang cerdas dan cemerlang adalah kerana faktor Intelligence developmentnya.

Jelasnya, untuk cemerlang perlu kepada pembelajaran dan juga latihan. Sekiranya seseorang itu diberi peluang untuk belajar dan melatih diri menjadi cemerlang, dia berpotensi untuk cemerlang dan begitulah sebaliknya.

Contohnya jika seseorang itu diberi peluang untuk belajar dan melatih diri untuk menjadi doktor, maka dia akan menjadi seorang doktor. Tetapi jika dia tidak diberi peluang maka dia akan menjadi orang yang tidak cemerlang dalam hidupnya.

“Untuk menjadi cemerlang juga ada syarat-syaratnya, ada syariatnya dan ada hukum batasnya. Dalam Islam sudah jelas tentang hal ini manakala di Barat lain pula caranya. Malah kajian Barat mendapati makanan orang Itali yang kebanyakannya dimasak dengan minyak zaitun dan makanan tidak bergoreng sangat bagus untuk perkembangan sel-sel saraf otak.

“Benda-benda yang manis seperti kismis dan kurma atau benda yang berlemak juga bagus untuk membantu pembentukan myelin yang baik. Jadi di situ ada pemakanan tertentu dan ada aktiviti tertentu untuk meningkatkan keupayaan otak,” tambah Dr. Sufian.

Melalui pendidikan akan melatih otak untuk berfungsi dengan sebaiknya

Sel otak menurun

Sungguhpun begitu, proses pembentukan sel saraf otak ini pula ada pasang surutnya, ada turun naiknya. Apabila sudah mencapai umur tertentu ia akan matang dan terhenti. Kebiasaannya ia berlaku apabila seseorang telah mencapai umur 40 tahun. Sebab itulah pada peringkat umur tersebut penglihatan akan menjadi semakin kabur, pendengaran menjadi kurang jelas, kurang deria bau dan selera makan semakin berkurangan. 

Pada peringkat umur ini tidak ada lagi pembentukan idea baru dalam otak seseorang. Namun itu bukan bermakna otaknya sudah lagi tidak relevan untuk berfikir, sebaliknya seseorang yang telah mencapai usia ini masih kelihatan highly intelligent disebabkan oleh well organizes work habit yang diamalkan dalam kehidupan sehariannya.

Mereka yang berumur 40 tahun telah stabil dari segi emosi dan sudah ada rutin kerja yang cemerlang. Mereka juga mempunyai sound judgement yang baik bagi membantu mereka membuat sebarang keputusan. Sebab itulah pada usia ini mereka boleh menjadi konsultan yang baik, pemimpin yang baik dan sebagainya.

Ia sebenarnya lebih kepada pengalaman hidup, persekitaran serta latar belakang pendidikan seseorang. Ia bukan sesuatu benda yang baru tetapi benda yang sudah sedia ada dalam otak dan pemikiran mereka, tinggal lagi untuk mereka adaptasikannya dan sesuaikannya dengan keadaan semasa.

AI menyempurnakan hidup manusia

Menurut Dr. Sufian lagi, otak manusia sebenarnya adalah jauh lebih baik daripada AI, robot atau supercomputer cuma kita sendiri yang tidak menggunakannya dengan sebaik mungkin.

“Kita sebenarnya tidak menggunakan keupayaan otak kita dengan sepenuhnya. Kita sendiri yang hadkan keupayaannya sedangkan otak kita boleh melakukan perkara yang kita tidak terduga dan boleh pergi lebih jauh lagi

“Cuba ambil contoh dari tokoh-tokoh ilmuan Islam silam seperti Ibnu Sina, al-Khawarizm dan banyak lagi. Mereka itu bukan sahaja hebat di dalam satu bidang ilmu malah mereka menguasai pelbagai jenis bidang ilmu. Mereka juga hebat menghafal al-Quran dan menjadi rujukan untuk hal-hal yang berkaitan hukum agama.

“Mereka menggunakan keupayaan otak semaksima yang mungkin, sedangkan kita pula baru buat 30 soalan matematik pun sudah mengeluh dan rasa hendak termuntah, apatah lagi hendak menghafal 30 juzuk al-Quran.

Latih otak dengan menggunakan keupayaan maksima seperti menghafaz al-Quran

“Soalnya kita sendiri yang hadkan keupayaan otak kita untuk berfikir dan berkerja. Kita tidak memanfaatkannya dengan sebaik mungkin. Maka jadilah kita orang yang biasa-biasa sahaja. Tidak ada kelebihan dan istimewa di mata orang lain.

Sungguhpun begitu jelas Dr. Sufian, sebagai manusia kita ada banyak kelemahannya. Keupayaan otak manusia pula ada pasang surutnya, sama juga dengan jasmani dan rohaninya, ada naik turunnya.

“Manusia ada jangka hayat dan tarikh luputnya. Maka di sini AI ada peranannya. Dalam kehidupan yang serba canggih pada hari ini, kita sememangnya sangat memerlukan AI. AI dapat mengisi kekosongan dan menyempurnakan tugas yang manusia tidak mampu lakukan.

AI juga dapat membantu untuk memudahkan urusan kerja dan urusan seharian manusia. Ia telah menjadi sebahagian daripada kehidupan kita. Perkembangan ini adalah sesuatu yang kita tidak dapat elak. Kita kena terimanya namun dalam masa yang sama kita juga kena bijak untuk mengendalikannya dan menggunakannya untuk tujuan kebaikan,” ujarnya. 

Dalam membandingkan kehebatan dan kecerdikan manusia dan AI, ini jawapan Dr. Sufian, “Manusia adalah sebaik-baik makhluk ciptaan Allah sebab itu manusia dilantik untuk menjadi khalifah di muka bumi, sedangkan AI, robot atau supercomputer adalah ciptaan manusia. Jadi mana lagi hebat? Sudah tentulah manusia,” jawabnya.

Manusia pula bebas untuk melakukan sesuatu perkara asalkan tidak tersasar dari jalan syariat sedangkan AI pula dipandu dan hanya mengikut arahan tuannya, iaitu manusia. Jadi, sehebat manapun AI ia tetap mengikut telunjuk dan arahan manusia.

Kecerdikan pula adalah subjektif sifatnya. Di Barat mungkin kecerdikan itu diukur kepada pencapaian seseorang di bidang pendidikan atau kemajuan dari sudut material tetapi dalam Islam cerdik itu adalah orang yang kenal penciptanya iaitu Allah. Jadi walau sebijak mana sekalipun AI ia tetap tidak mengenal Allah. Jadi pada pendapat saya itulah kebijaksanaan yang sebenar. Wallahu a’lam

_______________________________________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram