BINTANG rap Singapura, YHB Sleepsalot kembali dengan single baharu berjudul Tukar Currency yang kini sudah berada di semua platform digital menerusi Universal Music.

Tukar Currency merupakan buah tangan pertama untuk tahun ini selepas menyerlah dengan karya romantiknya Jatuh Boi pada tahun lalu.

Sejak sempadan negara dibuka, warga Singapura berpeluang untuk mengubat kerinduan menjejak Malaysia dan sebaliknya.

Ia turut dirasakan YHB Sleepsalot yang tidak bertangguh ke Kuala Lumpur (KL) pada Mac lalu di mana dia dapat bertemu semula dengan sahabat serta rakan artis dalam industri rap.

Dalam persiapannya menuju ke sini, tercetus sebuah perasaan yang menurutnya kembali segar dalam diri, lantas ideanya terhasil daripada gambaran betapa terujanya dia dapat melangkau keluar dari Singapura.

“Sewaktu pergi menukar wang, ia serta-merta mengembalikan semula kenangan itu.

“Rasanya agak pelik dan pada masa sama mengingatkan saya betapa pentingnya melawat KL. Ada saja berlaku pertukaran budaya dan idea. Ia benar-benar buatkan saya terinspirasi,” katanya.

Semua idea itu kemudian dirangkumkan dalam Tukar Currency yang diterjemah ke bahasa Melayu daripada istilah bahasa Inggeris, Currency Exchange.

Karya itu turut diserikan dengan kerjasama daripada SonaOne dan angggota FORCEPARKBOIS iaitu Nakalness.

Tukar Currency menggunakan rentak ‘breezy trap’ yang dicipta RIIDEM di mana YHB turut merakam perjalanannya dan menyelitkan metafora berkisar kemewahan, kesungguhan, dan kuasa.

Dia masih kekal merendah diri tapi optimistik pada masa sama dan disalurkan pada baris lirik ‘Kalau ambik L aku tambah jadi V’, terjemahan daripada “If I ever take an L (loss), I’ll bounce back and turn it back up.”

Dia turut menyebut nama bintang gusti Stone Cold Steve Austin dan penerbit hip hop, Metro Boomin, dua ‘penghulu’ dalam lapangan artistik masing-masing sambil menujukan sepatah dua kata buat golongan bertaraf diva dan berkelas tinggi pernah ditemuinya.

Sejak mula berkarya dalam muzik, YHB ambil berat terhadap populariti diraihnya dari luar Singapura meskipun agak asing buatnya kerana ketika itu baru pertama kali menulis lirik.

Dia memiliki peminat dari Malaysia yang serta-merta menyukai corak rap tersendirinya selepas mendengar lagunya di platform penstriman dan media sosial.

“Ia memberi saya peluang untuk mendewasa dan berkembang sebagai individu dan juga artis,” tambahnya.

Bersua dengan himpunan artis hebat turut membuatkan semangatnya lebih berkobar melangkah ke 2022 berbekalkan perspektif baharu.

Muzik video (MV) Tukar Currency turut memberi kelegaan buatnya kerana dapat menjalani penggambaran sendiri di kota ini.

MV terdahulunya menerusi Jatuh Boi menampilkan pemandangan KL yang dirakam kru tempatan sebelum diberikan kepada mereka di Singapura.

Sekembalinya ke Singapura, dia sangat bersemangat untuk menguasai industri rap semula dan pelancaran Tukar Currency melambangkan ikatan istimewa antara dua negara ini.

“Negara kita sudah ibarat bersaudara, baik rakyatnya, makanan, dan budaya.

“Begitu indah melihat persamaan mahupun perbezaan yang kita ada! Sekarang saya cuma ingin terus hasilkan lebih banyak muzik dan bekerjasama dengan pengkarya dari luar negara,” ujarnya.