JIKA anda menjamu selera di restoran mewah atau hotel, apabila duduk di meja selalunya akan ada sehelai kain yang dilipat cantik di atas meja, pinggan ataupun di atas kerusi.

Semua tahu kegunaan kain ini yang sinonim kita panggil sebagai napkin. Ia akan diletak di atas paha kita untuk memudahkan kita mengelap mulut, juga mengelakkan baju daripada kotor terkena makanan.

Mengikut catatan sejarah, asal penggunaan napkin ini bermula di kalangan bangsa Sparta di Greece purba. Ketika itu, napkin ini dipanggil ‘apomagdlies’.

Tahukah anda, asalnya ia bukan kain tetapi segumpal doh yang dipotong menjadi kepingan kecil dan dicanai nipis. Waktu itu, kepingan doh ini digunakan untuk membersihkan jari dan tangan selepas makan.

Masyarakat Eropah pula sudah menggunakan napkin ketika makan sejak 600 tahun lalu, dan penggunaannya terus berevolusi mengikut zaman.

Penggunaan napkin jenis kertas pula dipercayai bermula dari China, apatah lagi negara itu dikenali dalam sejarah teknologi penghasilan kertas. Napkin kertas pada hari ini tidak banyak beza dengan napkin asal yang digunakan sejak era Dinasti Tang. Ketika itu, orang China menggunakan napkin kertas kecil disebut sebagai ‘chih pa’ untuk memegang cawan teh mereka.

Penggunaan napkin ini secara asasnya sama, iaitu untuk membersihkan mulut dan tangan selepas makan, cuma jenis dan saiz serta namanya berbeza mengikut tamadun.

Seperti masyarakat Rom pada zaman dahulu, mereka menyebut napkin sebagai ‘sudaria’ dan ‘mappa’ yang masing-masing mempunyai ukuran berbeza, berlainan kegunaan, namun masih dalam kategori etika pemakanan.

Selepas empayar Rom musnah, penggunaan napkin juga luput ditelan zaman. Tiada lagi kain atau fabrik untuk membersihkan tangan dan mulut selepas makan.

Hanya pada abad ke-16, penggunaan napkin kembali semula dan menjadi keutamaan dalam majlis-majlis keraian besar. Ketika inilah muncul pelbagai nama napkin dengan pelbagai saiz yang masih ada disebut pakai hingga ke hari ini. Antaranya seperti ‘serviette’, diaper dan ‘touaille’.

Hari ini jika dilihat, ada pelbagai bentuk kain napkin yang dibentuk cantik di atas meja. Sebenarnya, seni lipatan napkin bermula di Itali. Antara yang terkenal ialah seni lipatan yang menyerupai bentuk haiwan. Seni ini berkembang ke seluruh dunia apabila ramai orang mula memperlihatkan kreativiti masing-masing dalam melipat napkin.

____

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram