Rumah PR1MA Residensi Bandar Ekar, Rantau sepatutnya siap pada Januari 2019.

PENANTIAN 742 pembeli projek kediaman Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) Residensi Bandar Ekar, Rantau sejak lima tahun lepas akan berakhir apabila projek berkenaan dijangka siap sepenuhnya Mac tahun depan.

Meluahkan kegembiraan, penolong profesor sebuah kolej Dr Tay Ching En Marcus, 34, berkata ia dapat mengurangkan beban kewangan selain meneruskan perkahwinannya yang sepatutnya dilangsungkan pada 2019, namun terpaksa ditangguh berikutan rumah berkenaan masih belum boleh diduduki.

“Kita sentiasa ada perjumpaan ketika itu bersama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan kumpulan Telegram dengan pembeli lain, apa-apa masalah kita bincang, saya pun tak tahu kenapa tidak dapat diteruskan pembinaan sebelum ini. Sekarang saya hanya menyewa bilik di Seremban.

“Namun sekarang kita dah nampak ada bumbung, PR1MA maklumkan siap Mac tahun depan, jadi lebih yakin akan dapat kunci tak lama lagi dan saya juga boleh teruskan perkahwinan,” katanya kepada pemberita selepas pertemuan bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Projek PR1MA berkenaan yang dimulakan pada 2017 dan sepatutnya selesai pada Jan 2019 itu membabitkan 766 unit rumah teres setingkat dan dua tingkat.

Baca artikel berkaitan: PRU-15: Pertama kali bertanding Parlimen, Tok Mat hadapi saingan lima penjuru di Rembau

Wakil PR1MA Noorazli Haron berkata perkembangan projek itu kini mencecah 80.96 peratus dan dijadualkan siap pada Mac 2023.

S. Thanaletchimy, 41, pula berkata perkhabaran itu telah ditunggu sejak lama lebih-lebih lagi ketika ini dia terpaksa menanggung beban kewangan yang tinggi termasuk pemotongan bayaran perumahan berjumlah hampir RM900 sebulan meskipun rumah belum boleh diduduki.

“Bila dah dapat rumah baharu, saya sudah tidak perlu bayar rumah sewa lagi dan boleh kurangkan beban, saya harap ia betul-betul akan disiapkan mengikut jadual, dulu masa mohon umur 35 tahun sekarang 41 tahun masih tak dapat duduk rumah sendiri,” kata guru di sebuah sekolah di Port Dickson itu.

Dalam pada itu, Mohamad turut meminta Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) menyemak kembali pembayaran ansuran supaya pembeli hanya perlu membayar mengikut tahap rumah itu sudah disiapkan.

“Dia tak boleh caj seolah-olah rumah dah siap, ikutlah sistem bank jangan ikut perjanjian jual beli. Saya minta atas dasar kemanusiaan, pembeli menanggung banyak masalah, rumah tak siap, ansuran perumahan kena bayar malah perlu juga bayar rumah sewa,” katanya.

— BERNAMA

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram