PENYANYI dan pelakon Bunga Citra Lestari mengakui perasaan untuk mencari pengganti suaminya, Allahyarham Ashraf Sinclair yang meninggal dunia akibat serangan jantung dua tahun lalu, bukan hal yang mudah.

Menurut Bunga atau BCL,39, mencari pasangan ketika masih bujang dan selepas kehilangan suami adalah dua perkara yang sangat berbeza.

ARTIKEL BERKAITAN: Bunga Citra Lestari tak hamil anak Ariel Noah! Tapi sedih kena ‘body shaming’, BCL dedah momen akhir Ashraf Sinclair meninggal dunia – “Kalaulah saya tahu waktu bersama tidak banyak…saya akan pilih fokus…”

“Banyak fasa dan perkara yang perlu dipertimbangkan terutama keluarga saya dan juga Ashraf. Prosesnya juga panjang dan tak semudah seperti mencari pasangan ketika umur saya 20 tahun dulu.

“Usia saya sudah meningkat dan mempunyai anak. Bersedia atau pun tidak, saya pun masih belum jelas dengan perasaan sendiri.

“Kalau ada yang bersedia untuk berhadapan dengan semua hal bersama saya, barulah saya serahkan segalanya kepada takdir. Saya hanya jalani hidup yang telah ditentukan oleh Allah,” katanya kepada URTV.

BCL berkata demikian ketika ditemui pada sidang media Konsert Blossom Bunga Citra Lestari di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Dalam pada itu, penyanyi Wanita Terbahagia itu enggan terlalu memikirkan soal pengganti dalam hidupnya namun tidak pula menolak seandainya satu hari dipertemukan dengan lelaki yang sesuai.

Namun demikian, kata BCL, lelaki yang ingin mendekatinya itu perlu menerima hakikat bahawa Ashraf tetap mempunyai ruang istimewa dalam hatinya.

“Kalau bercakap tentang menjalinkan hubungan baru, lelaki itu harus menerima yang Ashraf akan sentiasa bertakhta di hati saya sampai bila-bila.

“Jika dia boleh memahami, barulah boleh mulai cuba berkawan dengan saya. Saya tahu, ada sesetengah golongan lelaki sukar untuk menerima hal ini.

“Kita boleh bermula sebagai kawan dan cuba mencari keserasian. Kemudian barulah kita tahu sama ada sesuai atau tidak untuk jalinkan hubunga yang lebih serius.

“Namun sejujurnya, perasaan itu tidak akan pernah sama seperti dulu. Saya bukan mencari pengganti. Tidak akan ada siapa pun yang boleh menggantikan Ashraf,” jelasnya.

Kata BCL lagi, dia tidak memaksa diri untuk bertemu dengan orang baru dan tidak juga memaksa diri untuk tidak bertemu dengan lelaki lain.

Mengulas lanjut kedatangannya ke Malaysia, BCL akui mengumpul sepenuh kekuatan untuk kembali ke negara asal arwah suami.

Selain kekangan akibat penutupan sempadan negara akibat penularan Covid-19, BCL akui dia gementar kerana ini merupakan kali pertama dia menjejakkan kaki ke negara ini tanpa sosok seorang suami.

“Malaysia merupakan ‘rumah’ Ashraf. Ya, saya akui bukan mudah untuk saya mengumpul seluruh kekuatan untuk kembali lagi ke sini.

“Banyak memori manis yang kami cipta di sini…sukar untuk saya lupakan. Ini pertama kali saya ke sini sejak pemergian Ashraf,” akhirinya.

Untuk rekod, BCL mendirikan rumah tangga dengan aktor Ashraf pada 8 November 2008. Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan anak lelaki, Noah Sinclair yang kini berusia 12 tahun.

Ashraf meninggal dunia pada 18 Februari 2020 di Jakarta, Indonesia.