Lain macam kisah kehidupan pelakon terkenal, Mustapha Kamal dan kronologi kerjaya sehingga dikenali sebagai CEO Megah Holdings hasil garapan Azril Alias di laman Facebook, Malaysiaku Dulu-Dulu Official.

Kisah yang dikongsikan ini cukup mencuit hati gara-gara perkembangan kerjaya pelakon yang dikenali sebagai Papa ini daripada seorang Rambo hinggalah berjaya menduduki kerusi CEO sebuah syarikat korporat yang berjaya.

Walaupun sekadar rekaan dan gurauan, namun perkongsian ini menerima pelbagai reaksi lucu warganet gara-gara sinopsis kreatif tersebut.

“Jika ingin berjaya dalam hidup, contohilah beliau. Selepas berkhidmat sebagai Rambo, beliau pulang ke KL pada tahun 1990 menjadi seorang mekanik & menjaga adiknya Os, seorang OKU. Beliau seorang abang yang penyayang dan bertanggungjawab walaupun terpaksa memilih antara cinta dan adik tersayang.

Beliau kemudiannya melanjutkan pengajian ke maktab dan bertukar kerjaya sebagai seorang guru, lalu bertemu kekasih lama. Kerang yg dikutip di pantai suatu ketika dulu menjadi lambang cinta suci beliau dan kekasih hatinya. Namun konflik berlaku apabila beliau menjadi rebutan antara kekasih lama dan anaknya iaitu Mira Edora.

Langit tidak selalu cerah. Rumahtangganya yg bahagia porak peranda dgn kehadiran Roy. Beliau berubah kpd seorang perengus hingga Awie & Watie menjadi mangsa. Apartment Awie hangus dibakar beliau. Tidak berpuas hati dipukul oleh Awie dlm Sembilu, beliau bangkit mengatur rancangan dlm Sembilu 2 utk memisahkan Awie & Watie.

Kemudian beliau sedar akan kesilapan dan berkhidmat sebagai Polis Trafik Roda Roda Kotaraya sblm terkena satu das tembakan ketika berdepan penjenayah. Tugas beliau kemudiannya diambil alih oleh Roy yg telah insaf, bergandingan dengan Lando yg belum sibuk menurap jalan.

Beliau bangkit daripada kecederaan, mula berjinak2 menjual kereta terpakai hingga berjaya membina empayar perniagaan dan akhirnya Megah Holdings gah di persada.

Kredit : Azril Alias