Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob GAMBAR: Bernama

BARISAN Nasional (BN) yakin dapat membentuk kerajaan yang stabil selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) dengan mendapat kerjasama Gabungan Parti Sarawak (GPS), kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Katanya walaupun GPS, yang terdiri daripada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP) tidak bersama BN, namun kedua-duanya mempunyai sejarah hubungan yang panjang.

“Kita memahami antara satu sama lain, kita memahami aspirasi rakyat Sarawak. Kita lebih memahami hubungan, yang walaupun kita berbeza sekarang ini tetapi kita masih bersama,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Projek Seksyen Selangau untuk Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak, hari ini.

Beliau berkata Ahli Parlimen GPS telah menunjukkan kesediaan mereka untuk tetap bersama dengan Ahli Parlimen BN sewaktu menjadi pembangkang selepas PRU-14 dan menyertai kerajaan yang dibentuk BN pada 2020.

“Waktu saya menjadi ketua pembangkang, GPS bersama kita. Dia tak sertai kerajaan PH semasa itu. Maknanya kita tetap bersama. Bila kita bentuk kerajaan yang baru, GPS juga bersama kita, pastinya hubungan itu akan diteruskan,” katanya.

Baca artikel lain: Bual bicara khas bersama Perdana Menteri esok malam

Menyentuh kenyataannya sebelum ini berhubung keyakinan untuk BN memenangi PRU-15, Ismail Sabri berkata biarpun kemenangan itu nanti hanya berdasarkan majoriti mudah namun kerajaan akan tetap stabil ekoran penguatkuasaan undang-undang lompat parti.

“Beza sekarang dengan dulu, kalau dulu majoriti mudah itu amat membahayakan kerana masih boleh lompat parti. Sekarang ini dengan akta lompat parti, selepas menang tak ada siapa pun boleh lompat parti. Kalau lompat, dia kena kosongkan kerusi dan masuk pertandingan semula,” katanya.

Sementara itu Ismail Sabri berkata Bajet 2023 yang dibentangkan pada 7 Oktober lepas berkemungkinan akan dibentangkan semula dengan penambahbaikan jika BN diberi mandat menerajui kerajaan selepas PRU-15.

Katanya sebahagian besar manifesto BN untuk PRU-15 berkisar kepada belanjawan berkenaan.

“Ada kemungkinan juga (Bajet 2023 yang dibentang semula) ditambah baik, jadi kita akan tengok selepas PRU nanti. Yang pentingnya kita perlu menang dulu,” katanya.

–BERNAMA

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram