Datuk Seri Ismail Sabri diiringi isteri Datin Seri Muhaini Zainal Abidin dan ribuan penyokong pada penamaan calon baru-baru ini.

JENTERA Barisan Nasional (BN) perlu fokus menjalankan kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) secara harmoni tanpa melakukan sebarang provokasi atau menyebar fitnah, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata jentera BN perlu memberi jaminan kepada rakyat yang gabungan itu akan membela nasib  semua pihak sekiranya memenangi PRU15.

“Kita mesti jalankan kempen secara harmoni dengan tiada provokasi atau fitnah. Kita jual ‘produk’ kita jangan terlampau burukkan ‘produk’ orang lain.

“Produk kita perlu kita jual. Kalau rakyat terima kita, pasti mereka akan sokong kita,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan replika cek kepada Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) di Kompleks Bunga Raya Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di Sepang hari ini.

Ismail Sabri turut menzahirkan keyakinan bahawa Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan memenangi lebih banyak kerusi pada pilihan raya kali ini berbanding PRU14.

“Hubungan dengan GPS tidak pernah terputus sejak dari dahulu, walaupun GPS tidak ada dalam komponen BN tetapi hubungan kita mesra dan tidak pernah ada masalah

“Memang kita sangat rapat dan saya telah beberapa kali ke Sarawak… tidak ada masalah dari segi hubungan kita,” katanya.

BERITA BERKAITAN PM ingatkan jentera BN jangan abaikan lima juta pengundi baharu, tingkat libat urus

Ditanya mengenai tindakan calon Bebas bagi Parlimen Santubong Affendi Jeman yang berkempen menggunakan slogan ‘BN,’ beliau berkata pengundi diharap tidak keliru dengan tindakan sedemikian. 

“BN tidak pernah merestui sesiapa guna simbol BN… kalau mereka guna nama BN, itu mereka sendiri yang dakwa… Kita tidak iktiraf mereka atau menyokong mereka, tidak ada kena-mengena dengan BN,” katanya.

Sebelum ini, Affendi memaklumkan bahawa beliau menggunakan slogan kempen dengan singkatan BN yang membawa maksud ‘Bawa Nikmat.’

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan esok sebagai tarikh pengundian awal dan 19 Nov sebagai tarikh pengundian bagi PRU15.

Terdahulu, Ismail ketika mengulas penyerahan RM4 juta kepada MTUC hari ini berkata ia merupakan peruntukan yang telah diluluskan dalam mesyuarat agung kesatuan sekerja itu pada Julai lepas. 

“Jangan ada pihak kata masa PRU baru beri… Kementerian Kewangan kata (sudah) siap dan kebetulan penyerahan (dibuat) dalam tempoh PRU,” katanya. 

— BERNAMA

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram