Datuk Seri Najib Razak dan Datin Seri Rosmah Mansor./ Gambar fail Bernama

KERAJAAN hari ini gagal dalam permohonan untuk melucut hak 2,435 unit barang kemas, tujuh utas jam tangan dan 29 beg tangan berjenama bernilai RM80 juta yang disita dari sebuah premis milik Obyu Holdings Sdn Bhd, yang didakwa milik Datuk Seri Najib Tun Razak dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor.

Ini berikutan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Muhammad Jamil Hussin yang menolak permohonan pendakwaan selaku pemohon untuk melucut hak barangan tersebut yang disita oleh polis di Pavilion Residence pada 17 Mei 2018.

Dalam penghakimannya, Muhammad Jamil berkata pemohon gagal membuktikan kesemua barangan yang disita itu adalah hasil daripada penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Hakim itu turut menolak permohonan pihak pendakwaan untuk menggantung pelaksanaan keputusan tersebut sementara menunggu rayuan difailkan dan diputuskan oleh Mahkamah Rayuan.

Najib dan Rosmah merupakan pihak ketiga dalam permohonan itu. Mana-mana pihak ketiga yang mendakwa mempunyai kepentingan ke atas barangan yang dirampas boleh hadir di mahkamah untuk mengemukakan alasan mengapa barangan itu tidak boleh dilucut hak kepada kerajaan.

Pada 2019, pendakwaan memfailkan permohonan pelucuthakan terhadap Obyu Holdings untuk melucut hak barangan tersebut dan wang tunai berjumlah RM114,164,393.44 yang didakwa milik UMNO dan Najib. Bagaimanapun kerajaan gagal melucut hak wang itu.

Barangan tersebut didakwa hasil aktiviti haram yang dikaitkan dengan skandal dana 1MDB, disita di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

BERITA BERKAITAN Rosmah tuntut rantai tangan berlian, Najib tujuh jam tangan

Barangan kemas dan beg tangan didakwa milik Rosmah manakala jam tangan milik Najib.

Dalam keputusannya, Hakim Muhammad Jamil berkata pegawai penyiasat pengubahan wang haram Supt Foo Wei Min gagal membuktikan bahawa jam tangan yang disita itu hasil daripada pecah amanah atau harta curi.

“Perlakuan kesalahan predikat (aktiviti haram) tidak dibuktikan, maka tidak timbul isu bahawa jam tangan yang disita diperoleh berkaitan dengan perlakuan kesalahan predikat atau menggunakan penyelewengan dana 1MDB,” katanya.

— BERNAMA

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram