satu rahmat Allah di bumi
Sekadar gambar hiasan

Setiap hari kita membaca al-Fatihah sekurang-kurangnya sebanyak tujuh belas kali. Jika kita mengambil Bismillahirrahmanirrahim sebagai ayat pertama, kita akan dapati nama Allah Taala yang berkaitan dengan rahmat diulang sebanyak empat kali, dua al-Rahman dan dua al-Rahim. Dari sudut ini, seolah-olah Allah ingin menekankan konsep rahmah-Nya kepada hamba-hamba-Nya.

Melihat hadis Nabi s.a.w. pula, kita akan dapati satu hadis yang amat jelas menunjukkan keluasan rahmat Allah. Sabda Rasulullah s.a.w.  

“Sesungguhnya Allah menjadikan rahmah pada hari Allah menjadikannya sebanyak 100 rahmat. Setiap satu rahmat itu memenuhi ruangan antara langit dan bumi. Lalu Allah jadikan satu rahmat di bumi. Dengan rahmat itu, si ibu menyayangi anaknya. Begitu juga dengan binatang buas dan burung sesama mereka. Apabila tiba hari kiamat kelak, Allah akan menggabungkan rahmat dengan yang satu ini.” (HR Bukhari dan Muslim)  

Dalam satu riwayat lain, Nabi s.a.w bersabda,  

“Allah menangguhkan 99 rahmat untuk hari kiamat agar Allah merahmati hamba-hamba-Nya.” (HR Muslim).

Al-Raghib al-Asfahani dalam Mufradat al-Quran menyatakan, rahmat ialah kelembutan hati yang menghasilkan kebaikan kepada pihak yang dirahmati. Kadang-kadang digunakan untuk kelembutan hati tanpa membuat kebaikan. Dan kadang-kadang digunakan untuk membuat kebaikan tanpa kelembutan hati.

Dengan ini, kita dapati perkataan itu telah dimasukkan ke dalam bahasa Melayu dengan membawa erti kasih sayang, kurnia, berkat, bahagia, kelebihan, hikmah, faedah dan kegunaan.

Itu maksud rahmat di kalangan makhluk. Adapun sifat rahmat bagi Allah, adalah sama dengan maksud yang dinyatakan di atas dengan satu syarat, iaitu tidak menyamakan antara Allah dan makhluk dalam cara merahmati. Kaedah dan konsep ini dapat diambil daripada kata-kata al-Imam Malik,

Al-Istiwa’ diketahui maksudnya. Caranya pula tidak diketahui. Beriman dengannya adalah wajib. Bertanya tentang caranya adalah bid’ah.”

Oleh itu, ahli sunnah wal jemaah menerima apa sahaja sifat-sifat Allah yang terdapat dalam al-Quran dan al-Sunnah sesuai dengan kehebatan dan kebesaran Allah tanpa menyerupakan cara dan bentuk sifat itu dengan sifat makhluk yang lemah dan serba kekurangan. 

Rahmat yang satu apa?

Dari satu sudut, perkara ini adalah perkara ghaib yang Allah nyatakan kepada kita. Justeru, apa yang perlu kita lakukan ialah beriman dengan Nya.Beriman dengan perkara ghaib yang Allah khabarkan kepada kita merupakan pendirian utama orang  Islam yang bertakwa.

Pada permulaan surah al-Baqarah, Allah  menyifatkan orang yang bertakwa sebagai mereka yang beriman dengan perkara ghaib, mendirikan solat dan menginfakkan harta mereka.

Justeru, inilah langkah pertama yang harus kita lakukan dalam perbincangan ini iaitu beriman dengan segala dalil al-Quran dan hadis yang sahih berkaitan dengan rahmat. Langkah yang kedua ialah meneliti dalil-dalil itu untuk mendapatkan maksud yang menyeluruh dan merangkumi. Pada masa yang sama, huraian para ulama, sahabat dan ulama ahli sunnah wal jemaah wajar dijadikan pedoman.

Selepas melihat dalil-dalil yang membicarakan tentang perkara-perkara yang ada di dunia dan di akhirat atau di alam ghaib, kita akan dapati hakikat sebenar antara perkara akhirat dan perkara dunia adalah tidak sama. Di antara contohnya ialah tahap kepanasan api di dalam hadis berikut,  

“Api kamu adalah satu bahagian dari 70 bahagian api Jahannam.”. Para sahabat berkata, “Wahai Rasulullah, itu pun sudah mencukupi.” Baginda bersabda, “Api Jahannam digandakan sebanyak 69 bahagian, setiap satu seperti kepanasannya” (HR Bukhari dan Muslim).

Berdasarkan dalil-dalil seperti inilah, kita dapati Abdullah bin Abbas r.a. meletakkan kaedah dan formula untuk dijadikan asas dalam memahami perbandingan urusan dunia dan akhirat, iaitu

“Tiada suatu pun di syurga yang menyerupai sesuatu di dunia kecuali pada nama.” Athar ini dinyatakan oleh al-Suyuti dalam al-Jami’ al-Saghir dan dihukum sahih oleh al-Albani.

Justeru, dapatlah kita fahami, Allah Maha Mengetahui bahawa kadar rahmat yang mencukupi untuk dunia ialah satu, manakala kadar rahmat yang diperlukan di akhirat ialah 100. Ini perkara yang dapat diterima tanpa sebarang masalah bila mana kita dapati pelbagai dalil yang menunjukkan azab di akhirat dilipatgandakan.

Maka amatlah wajar nikmat juga dilipatgandakan sama seperti azab, bahkan melebihi azab, kerana sifat yang dominan bagi Allah ialah sifat rahmat. Dek kerana itulah kita masuk ke syurga bukan dengan amalan baik yang kita lakukan melainkan dengan rahmat dan kasih sayang Allah. Wallahu a’lam

____________________________________________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram