Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hadir membantu kempen calon BN Parlimen Sungai Buloh, Khairy Jamaluddin malam tadi. GAMBAR:BERNAMA

ANGIN perubahan bagi memberi peluang kepada calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Sungai Buloh, Khairy Jamaluddin memenangi kerusi berkenaan dilihat sudah mula dirasai. 

Khairy meluahkan keyakinan itu ketika berucap pada program ramah mesra bersama penduduk sekitar Sungai Buloh, Kota Damansara. 

Beliau mengakui pada mulanya menganggap tugas mewakili BN di kerusi Parlimen Sungai Buloh sebagai satu misi mustahil. 

Namun begitu, Khairy berkata, angin perubahan itu mula dirasai menerusi sokongan padu yang diberikan sejak lebih seminggu berkempen. 

“Bila saya dihantar ke sini berdepan majoriti lebih 26,000 dimenangi PH pada PRU lepas, saya anggap ini satu misi mustahil. 

“Namun, bila saya jumpa dengan orang Sungai Buloh, tengok malam ini, begitu ramai. 

“Tiga penggal banyak isu tidak dapat diselesaikan. Tuan-tuan, saya datang bukan calon biasa. Yg datang ini adalah KJ, Khairy Jamaluddin.

“Angin perubahan sudah dirasai. Biarlah pada 19 haribulan ia menjadi ribut perubahan di Sungai Buloh,” katanya. 

Baca artikel berkaitan: Calon TPM belum dibincang – Ismail Sabri

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob turut hadir membantu Khairy dalam kempennya untuk memenangi persaingan tujuh penjuru di Parlimen Sungai Buloh.

Parlimen Sungai Buloh menyaksikan pertembungan antara BN, PH, Perikatan Nasional (PN), Parti Rakyat Malaysia (PRM), Gerakan Tanah Air (GTA) serta dua calon bebas.

Dalam pada itu, Khairy menafikan naratif ‘satu undi untuk KJ satu undi untuk orang lain’, selain menegaskan ia adalah sesuatu yang tidak seharusnya dijadikan perhatian oleh pengundi Sungai Buloh.

Beliau turut berjanji melakukan yang terbaik menjaga Parlimen Sungai Buloh sepenuh jiwa dan raga. 

“Saya akan jadi ahli Parlimen Sungai Buloh dengan baik dan satu hari nanti insya-Allah dengan sokongan anda semua, saya nak jadi Perdana Menteri dari Sungai Buloh. 

“Kalau tuan-tuan sokong saya. Saya akan balas budi tuan-tuan. Saya jadi ahli Parlimen terbaik untuk Sungai Buloh,” jelas beliau. 

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram