Datuk Seri Ismail Sabri diiringi isteri Datin Seri Muhaini Zainal Abidin dan ribuan penyokong pada penamaan calon baru-baru ini.

PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berhasrat untuk memperkecilkan saiz Kabinet sekiranya Barisan Nasional (BN) diberi mandat dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Katanya, saiz Kabinet pada ketika ini dilihat sebagai besar dan memberi gambaran beberapa kementerian berkemungkinan akan digabungkan.

“Saya beri jaminan bahawa saya akan mengecilkan Kabinet saya, kerana Kabinet sekarang terlalu besar dan saya akan mengecilkan Kabinet,” katanya dalam sidang media, malam tadi.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Santai Anak Muda Kuala Selangor.

Yang turut hadir calon BN bagi Parlimen Kuala Selangor, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Baca artikel lain: Undi awal: PM ingatkan rakyat buat pilihan tepat

Namun begitu, Ismail Sabri berkata, apa yang menjadi keutamaan pada ketika ini adalah BN perlu memenangi pilihan raya umum kali ini.

“Yang penting menang dulu, kalau tak menang saya pun tak jadi Perdana Menteri, BN mesti menang dulu. Zafrul mesti menang di sini.

“Menang di sini kalau kalah di seluruh Malaysia, macam saya dahulu menang di Bera akhirnya saya jadi ketua pembangkang,” katanya lagi.

Mengulas mengenai dakwaan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa beliau memiliki majoriti membentuk kerajaan, Ismail Sabri menjawab, sesiapa pun boleh mendakwa sedemikian.

Katanya, apa yang penting adalah siapa bakal dipilih oleh rakyat pada 19 November ini.

“Semua kata dapat majoriti, semua parti dapat majoriti, saya pun sudah umum dari segi survey kita buat kita dapati bahawa Barisan Nasional mendahului parti-parti lain.

“Kalau Anwar kata dia mendahulu, saya pun mendahului, tapi yang pentingnya 19 hari bulan nanti rakyat akan mengundi,” katanya.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram