PROSES undi awal bagi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) menyaksikan sebanyak 16 peratus telah pun menunaikan tanggungjawab masing-masing setakat pukul 9 pagi tadi. 

Perkara tersebut dimaklumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam hantaran di media sosial. 

“Statistik keluar mengundi bagi undi awal PRU-15 pada jam 9 pagi adalah 16 peratus,” katanya. 

Proses undi awal bagi PRU-15 dan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya, Sabah bermula secara rasmi pada pukul 8 pagi ini, melibatkan sejumlah 224,828 pengundi awal.

Daripada jumlah itu, 117,473 orang adalah anggota tentera dan pasangan, manakala 107,355 lagi adalah polis dan Pasukan Gerakan Am (PGA) serta pasangan mereka.

Sebanyak 578 pusat pengundian awal dibuka di seluruh negara antaranya melibatkan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) dan kem-kem tentera, dengan sejumlah 970 saluran.

Baca artikel berkaitan: PRU-15: Pengundi awal mula tunai tanggungjawab mengundi

Berdasarkan warta Kerajaan Persekutuan bertarikh 31 Okt 2022 yang dimuat naik di laman sesawang Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), pusat mengundi awal akan ditutup secara berperingkat antara 12 tengah hari hingga 5 petang.

Untuk itu, SPR dalam kenyataan semalam menasihatkan pengundi agar membuat semakan maklumat pengundian melalui portal semakan di pautan https://mysprsemak.spr.gov.my atau hubungi Hotline SPR di talian 03-88927018/03-88880040 atau melalui aplikasi MySPR Semak.

SPR turut menyarankan pengundi awal yang positif COVID-19 untuk berhubung terus dengan pegawai kesihatan daerah bagi memudahkan urusan pengundian awal masing-masing.

Proses pengundian awal turut disaksikan ejen-ejen calon yang bertanding, selain disiarkan secara langsung menerusi Facebook SPR di beberapa pusat mengundi awal terpilih.

Kertas undi awal tidak akan dikira hari ini dan kesemua peti undi akan disimpan di lokap-lokap balai polis untuk jagaan selamat. 

Kertas-kertas undi tersebut hanya akan dikira pada hari pengundian 19 Nov, bermula pukul 4 petang di tempat pengiraan undi yang ditetapkan SPR serta disaksikan oleh ejen-ejen calon.

PRU15 melibatkan 222 kerusi Parlimen dan 116 kerusi DUN iaitu Perak (59), Pahang (42) dan Perlis (15).

PRK DUN Bugaya pula diadakan serentak dengan PRU15 selepas tertangguh ekoran proklamasi darurat bagi mencegah penularan COVID-19.

Tempoh berkempen ditetapkan selama 14 hari bermula hari penamaan calon pada 5 Nov lepas dan akan berakhir pada 11.59 malam, 18 Nov.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram