Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim. GAMBAR: Abd Razak Aid

SUARA-suara yang mengatakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) sebagai medan terakhir atau do or die bagi Datuk Seri Anwar Ibrahim mengetuai negara sebagai Perdana Menteri disifatkan hanya gimik politik.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu berkata, kenyataan seumpama itu tidak memberi makna kepada dirinya.

Anwar berkata, beliau berperanan kecil dalam usaha mencetuskan perubahan dan reformasi dalam pentadbiran negara.

“Saya melakukan dengan sebaiknya dan seharusnya generasi penerus menyambung (kepimpinan).

“Soal do or die saya ingat hanya kenyataan gimik politik. (Itu) tidak bermakna.

“Kita ada peranan (untuk) kita teruskan. Sampai waktunya (nanti), generasi penerus harus mempunyai idealisme (memimpin negara),” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program bual bicara PRU-15: Grand Finale Demi Malaysia yang disiarkan di Astro Awani, hari ini.

Menjawab keyakinan sama ada PH mampu memperoleh sehingga 100 kerusi dalam PRU-15, Anwar berharap segala sentimen yang disuarakan rakyat sepanjang kempen akan diterjemahkan ke kertas undi.

Baca artikel berkaitan: Fitnah terhadap PH dimainkan orang hilang pertimbangan – Anwar

Namun begitu, beliau berkata, tempoh tiga hari menjelang hari pengundian Sabtu ini adalah tempoh yang panjang.

“Kita banyak mengharapkan sentimen yang disuarakan itu akan menenuhi hasrat bersama tetapi tiga hari dalam politik jangka masa yang lama.

“Kita hanya mampu berdoa, berikhtiar dan bertawakal kepada Allah. Insya-Allah,” jelas beliau.

Dalam pada itu, Anwar turut melihat angin perubahan di Kelantan lebih-lebih lagi berhubung isu kebajikan rakyat.

Bagaimanapun, beliau tidak pasti sama ada gelombang itu telah pun cukup bagi PH memperoleh banyak kerusi di negeri berkenaan.

“Di Kelantan ada angin perubahan melihat kepada sambutan kemarahan rakyat dalam isu yang mereka (kerajaan negeri) tak dapat kendalikan dengan baik termasuk soal air, pembangunan dan pendidikan.

“Sama ada apakah gelombang itu cukup untuk mengalahkan mereka saya belum pasti tetapi pastinya ada perubahan dan gelombang itu nyata.

“Saya ke Pasir Mas, Machang, Bachok dan Pengkalan Chepa. Menang tak menang itu saya tidak tahu, mungkin sukar tetapi saya fikir cabaran itu menarik.

“Dalam hujan lebat, ribuan orang datang mendengar dan melahirkan rasa gelisah mereka dan kecewa kerana pengabaian daripada kerajaan negeri,” jelas beliau.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram