Gambar fail BERNAMA

PERSEORANGAN badminton negara Lee Zii Jia mudah melepasi pusingan pertama Terbuka Australia 2022 hari ini, dalam misinya meraih tiket ke Jelajah Dunia Akhir Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Pemain profesional berusia 24 tahun itu menewaskan Rio Agustino dari Australia 21-9, 21-11 dalam masa 25 minit di State Sports Centre di Sydney untuk melangkah ke pusingan kedua. 

Esok, pemain nombor dua dunia itu perlu memenangi perlawanan menentang Lu Guang Zu dari China, yang mengalahkan Tommy Sugiarto dari Indonesia 21-18, 21-17.

Zii Jia perlu melangkah ke separuh akhir bagi mengatasi Guang Zu dalam kelayakan ke Jelajah Dunia Akhir itu yang telah bertukar venue ke Bangkok, Thailand. (Kejohanan itu sebelum ini dijadualkan di Guangzhou, China)

Memandangkan hanya perseorangan atau beregu yang berada dalam kelompok lapan terbaik akan layak ke kejohanan itu, Zii Jia yang kini pada ranking kesembilan dengan 54,930 mata perlu mengatasi Guang Zu yang berada di tangga kelapan dengan 56,310 mata.  

BERITA BERKAITAN Zii Jia muncul naib juara Terbuka Denmark, tewas kepada Shi Yu Qi di final

Sementara itu, pemain pasukan kebangsaan Ng Tze Yong turut mara ke pusingan seterusnya selepas mengalahkan seorang lagi pemain Australia Jacob Schueler 21-13, 21-15, untuk berdepan Heo Kwang Hee dari Korea Selatan.

Soong Joo Ven menundukkan Adam Dolman dari Australia 21-12, 21-12 sekali gus menemani Zii Jia dan Tze Yong ke pusingan kedua. 

Beregu lelaki negara Ong Yew Sin-Tee Ee Yi turut mara selepas kemenangan 21-12, 21-15 ke atas Adam Jeffrey-Dylan Soedjasa dari New Zealand.

Ong-Tee dijadualkan bertemu satu lagi beregu New Zealand, Ricky Cheng-Jack Wang.

Dalam acara perseorangan wanita, pemain profesional Goh Jin Wei menjadi wakil tunggal perseorangan wanita negara yang mara ke peringkat seterusnya selepas mengetepikan Tanya Hemanth dari India 21-15, 21-16 dalam perlawanan 32 minit.

Goh akan bertemu rakan senegara Tanya iaitu Anwesha Gowda.  

S. Kisona dan Sonia Cheah pula tersingkir awal selepas dikalahkan lawan masing-masing.

— BERNAMA

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram