Bila kita bekerja, kita korbankan segalanya – masa, badan dan mental. Dalam setiap pengorbanan yang kita buat, kita mesti ingin rasa setiap cebisan kita bagi dihargai, bernilai kepada rakan-rakan sekerja, kepada bos-bos kita tetapi pada masa sama, kita akan mula sedar jika segalanya berbaloi dan di situlah mulanya tercetus dilema.

Ibu bapa kita mengharungi lebih kurang pengalaman  sama; semua memberikan tumpuan untuk habis sekolah, masuk universiti kalau ada rezeki dan kemudian terjah masuk ke fasa ‘salary-man’, tetapi anak-anak mereka mengharungi masalah yang lebih kritikal.

Generasi sekarang sering berbincang tentang kesihatan mental, satu topik yang jarang dibincang ketika zaman ayah dan ibu.

Penat juga jika setiap kali nak ungkit kesihatan mental tetapi setiap kali ia diungkit, ia hanya membuktikan ia memang satu isu dikalangan generasi muda, terutamanya yang baru sahaja ingin melangkah masuk dunia kedewasaan.

Sejurus sahaja habis belajar, tiba-tiba kena cari kerja sebab nak cari duit untuk diri sendiri, dan setengah, untuk menyara ibu bapa dan adik beradik.

Bila datangnya tekanan tersebut, kita mula bekerja keras, kadang-kadang terlampau keras sehingga mengabaikan dunia di depan mata kita semua.

Setengah orang sanggup tetapi setengah lagi, ingin  seimbangkan dunia bekerja dan masa untuk diri sendiri bersama keluarga.

Di kalangan manusia, sentiasa ada dilemma sama ada mencari rezeki atau menikmati hidup yang kita ada.

Kita boleh kata yang generasi sekarang agak ‘dramatik’ daripada generasi sebelum ini, sentiasa ingin membuat naratif bahawa bekerja adalah seolah-olah “pengorbanan jiwa” tetapi naratif itu tidak semuanya salah.

Manusia tidak perlu sebijak Stephen Hawking atau se-kreatif George Lucas untuk akhirnya memahami konsep bahawa hidup kita mempunyai penghujung.

Hidup kita bukannya seperti video game di mana lagi banyak gula-gula kita dapat kumpul, lagi lama masa kita di atas muka bumi.

Masalah orang ‘workaholic’ ini terutamanya golongan muda, ialah ramai antara mereka yang bekerja terlalu keras sehingga tidak menikmat perkara-perkara kecil seperti borak tentang drama Melayu terbaru, pergi melawat Zoo atau main PS5.

Bukannya kita tidak boleh buat semua ini jika kita bekerja tetapi kadang kala, tekanan bekerja menjadi terlalu berat sehingga tidak boleh berseronok ketika masa lapang dan sebenarnya benda itu normal asalkan kita reti untuk menguruskan masa.

Tidak ada satu pekerjaan di dunia ini yang tidak memenatkan. Mesti ada satu masa di mana kita semua nak bangun tidur pun susah.

Ia langsung tidak munasabah untuk kita tidak bekerja langsung. Rezeki tidak datang dari langit. Tetapi ada kalanya, kita akan mempersoalkan jika nilai duit untuk lebih besar daripada diri kita sendiri sehingga memenatkan fizikal dan mental.

Mungkin ada yang rasa ia satu pengorbanan yang perlu dibuat untuk masa depan kita dan orang tersayang, tetapi hidup ini perlu bersederhana.

Tidak salah untuk terlampau rajin, tetapi salah untuk kita berfikiran yang diri kita boleh berfungsi seperti robot setiap hari.

Dulu kita selalu ambil remeh frasa “work smart, don’t work hard” tetapi sebenarnya itulah cara bekerja yang betul.

Kita perku bekerja yang memudahkan semua orang disekeliling kita, termasuklah diri sendiri. Jika kita berkerah tenaga, tidak semestinya orang lain akan menghargai usaha kita.

Bukannya nak kata kita boleh malas, sebaliknya, kita boleh rajin tetapi berpada.

Penat badan boleh hilang, tetapi kepenatan mental ialah seperti kencing manis. Kita boleh kurangkan tetapi ia tidak akan pulih sepenuhnya.

Satu benda yang buat kita bahagaia kepada dunia yang nyata ialah kewarasan kita sendiri, bukannya angka dalam akaun bank.

*Penulis adalah graduan kewartawanan UiTM.