SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas Jumaat ini bagi membincangkan tentang urusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) bagi Parlimen Padang Serai.

Ia susulan kematian calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Padang Serai, M Karupaiya, hari ini.

Setiausaha SPR, Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, mesyuarat khas tersebut akan membincangkan penetapan tarikh-tarikh penting urusan PRU-15 bagi kerusi berkenaan.

Kata beliau, satu kenyataan media akan dikeluarkan selepas mesyuarat berkenaan selesai.

Ikmalrudin memaklumkan, suruhanjaya itu telah menerima writ pilihan raya yang dipulangkan oleh pegawai pengurus bahagian pilihan raya menyatakan fakta mengenai kematian Karupaiya.

“SPR mengucapkan takziah kepada keluarga mendiang Karupaiya yang meninggal dunia hari ini.

“Semoga keluarga mendiang tabah menghadapi kehilangan orang tersayang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Proses pengundian bagi Parlimen Padang Serai mungkin dilaksanakan pada suatu tarikh baharu yang akan ditetapkan SPR berikutan kematian Karupaiya.

Baca artikel berkaitan: PRU-15: Calon PH Parlimen Padang Serai, M Karupaiya meninggal dunia

Semua urusan mengenainya perlu dijalankan semula dengan tidak perlu penamaan baharu bagi calon yang layak serta sah dinamakan pada masa pengundian itu dibatalkan.

Ia susulan ketetapan mengikut Fasal 11 Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Perjalanan Pilihan Raya) 1981 yang memperincikan perihal membabitkan calon yang dinamakan mati atau hilang kelayakan daripada menjadi ahli Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri (DUN) sebelum pengundian dimulakan.

Fasal sama turut menyentuh perkara sama bagi apa-apa sebab pengundian tidak dapat diadakan atau sudah tidak diadakan pada hari pengundian awal atau hari pengundian, mengikut mana-mana yang berkenaan seperti dinyatakan dalam writ dikeluarkan kepada pegawai pengurus mengikut subperaturan 3(1).

Karupaiya dilaporkan meninggal dunia pada pukul 2.27 petang di Hospital Kulim, hari ini.

Mendiang Karupaiya yang merupakan ahli PKR memenangi kerusi Parlimen Padang Serai pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) selepas menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Leong Yong Kong dan calon Pas, Muhammad Sobri Osman dengan majoriti 8,813 undi.

Karupaiya dijadual berhadapan pertembungan enam penjuru di kerusi tersebut pada PRU-15 kali ini apabila dicabar calon BN, C Sivarraajh, Azman Nasrudin daripada Perikatan Nasional, Hamzah Abdul Rahman (Pejuang), Bakri Hashim (Warisan) dan calon bebas, Sreanandha Rao.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram