Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika hadir pada Jelajah PN Best Tambun di Ipoh, baru-baru ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

“Perkara pertama yang diberitahu rakyat ketika berjumpa dengan saya semasa berkempen adalah mereka mahukan ‘Abah’ semula,” kata Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Jelas Muhyiddin, sentimen itu adalah hasil daripada kejayaan kerajaan PN menguruskan rakyat dan negara dalam keadaan yang paling sukar ketika tempoh pandemik Covid-19.

Selain itu, Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu berkata, rakyat juga mahukan kerajaan yang pantas bertindak dalam melaksanakan sesuatu perkara.

“Ketika ini ramai yang sangat susah dan ini melibatkan pekerjaan dan makanan. Dulu bantuan kita bagi, sekarang mereka masih memerlukannya lagi.

“Selain itu, ada yang memohon bantuan perniagaan dan penangguhan pembayaran pinjaman daripada bank iaitu moratorium.

“Perkara ini saya lihat satu desakan yang memerlukan penyelesaian yang pantas dan itu yang saya fikir kita perlu tangani dalam masa terdekat ini,” katanya dalam program bual bicara PRU15: Grand Finale demi Malaysia malam tadi.

Baca lagi: ‘Kalau nak Abah kembali ke Putrajaya, undilah PN’ – Muhyiddin

Mengulas mengenai sasaran pengundi bandar dan luar bandar, Muhyiddin tidak menolak kemungkinan terdapat perubahan positif daripada segi sokongan terhadap PN di kawasan berkenaan.

Jelas beliau, tumpuan PN adalah untuk memastikan masalah kemiskinan dapat diatasi dengan baik tanpa mengira perbezaan warna kulit.

“Isu kemiskinan ini yang paling terbesar adalah orang Melayu tetapi ada juga bukan Melayu yang miskin. Kalau kita ingat sewaktu kerajaan PN dahulu, bantuan diberikan tanpa mengira perbezaan kaum.

“Itu menunjukkan sikap keprihatinan kita untuk membantu seluruh warga Malaysia tanpa mengira latar belakang kaum dan agama.

“Bagi saya, kita perlu memberi faedah kepada semua dengan adil dan kita telah tunjukkan kepada semua sewaktu memerintah dahulu,” katanya.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, beliau berharap peratusan keluar mengundi pada PRU-15 lebih tinggi berbanding PRU-14.

Jelas beliau, setakat ini, jumlah peratusan undi awal bagi PRU-15 menunjukkan petanda baik iaitu 94.72 peratus.

“Jika peratusan keluar mengundi lebih 90 peratus atau 85 peratus pada 19 November ini, itu satu petanda baik. Bermakna warga Malaysia yang menjadi pengundi tahu tanggungjawab mereka, ini masa untuk tunaikan tanggungjawab mereka.

“Saya jangka itu berlaku, anak muda ramai nak balik. Harapan saya sampai 90 peratus. Tidak ada sebab untuk kita tidak keluar mengundi. Guna hak yang ada untuk tentukan masa depan anda semua,” katanya.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram