Pengerusi Barisan Nasioanl, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersama Timabalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob serta pemimpin-pemimpin tertinggi BN pada Majlis Pelancaran Jentera Pemuda BN di Stadium Titiwangsa, baru-baru ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

TIADA sebarang perpecahan dalam UMNO dan Barisan Nasional (BN) seperti yang digembar-gemburkan oleh parti lawan sama ada sebelum mahupun semasa Pilihan Raya Umum Ke-15 berlangsung.

Itu penjelasan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika ditanya mengenai spekulasi berlakunya perselisihan faham serius dalam UMNO.

Jelas Naib Presiden UMNO itu, perselisihan pendapat sememangnya diraikan dalam parti yang besar seperti UMNO, tetapi tidaklah membawa kepada perpecahan.

“Sebab itu, saya dengan Presiden UMNO, Datuk Seri dr Ahmad Zahid Hamidi turun bersama kepimpinan tinggi UMNO dan juga BN. 

“Maknanya, kita hendak tunjuk kepada rakyat bahawa isu perpecahan dalaman tidak ada dan juga isu perpecahan dalam BN, komponen dengan UMNO juga tidak ada. 

“Itu sebabnya setiap kali program, kepimpinan BN akan turut bersama,” katanya dalam program Ruang Bicara Khas Kestabilan dan Kemakmuran Bersama Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob malam tadi.

Baca lagi: Penerimaan kaum Cina terhadap BN semakin bagus – Ismail Sabri

Mengulas lanjut, Ismail Sabri turut mengakui terdapat isu pemimpin yang tidak berpuas hati tentang pencalonan dalam pilihan raya kali ini.

Begitupun, jelas beliau, perkara tersebut merupakan lumrah setiap kali pilihan raya diadakan dan turut berlaku dalam mana-mana parti yang lain.

“Kalau kita lihat dalam DAP juga timbul isu yang menyebabkan bantahan di kalangan mereka, sebagai contoh di Parlimen Bentong, bekas ahli Parlimen, Wong Tack digugurkan dan digantikan dengan calon lain yang menyebabkan Wong Tack bertanding atas tiket Bebas kerana tidak berpuas hati dengan DAP.

“Begitu juga dengan PKR, calon-calon dia juga ada yang tidak berpuas hati. Sebagai contoh Tian Chua yang tidak berpuas hati dengan keputusan di Parlimen Batu dan sebagainya. Jadi soal apabila berlaku calon PRU, saya rasa itu perkara biasa yang semua parti akan alaminya,” kata Ismail Sabri.

Ismail Sabri menambah, isu dalaman UMNO dan BN berkenaan calon sudahpun selesai yang mana beliau sendiri menjelaskan perkara tersebut setiap kali perjumpaan.

Jelas penyandang kerusi Parlimen P.090 Bera itu, beliau memahami kekecewaan ahli parti yang tidak tercalon tetapi yakin mereka tetap bersama parti.

“Ini berlaku dan kita sudah melihatnya. Terima kasih kepada Tan Sri Annuar Musa misalnya, walaupun nampak pada peringkat awal ramai gembar-gemburkan yang dia akan bertanding dengan (atas tiket) Perikatan Nasional (PN) dengan lambang Pas dan sebagainya, akhirnya beliau buat ‘come back’ kepada kita. 

“Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman juga dianggap sebagai seorang yang tidak berpuas hati, tetapi akhirnya beliau bekerja keras untuk memastikan calon Parlimen Pasir Salak dapat kemenangan. 

“Daripada segi UMNO, di peringkat awal ada sedikit kekecewaan tetapi akhirnya parti diletakkan di hadapan dan akhirnya semua berbalik kepada parti,” katanya.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram