SELANGOR FC mencalarkan ego Terengganu FC selepas bangkit daripada ketinggalan untuk mencatat kemenangan 3-1 pada pertembungan separuh akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Petaling Jaya, malam ini.

Kekalahan itu menamatkan rentetan sembilan kemenangan berturut-turut skuad Penyu dalam kesemua pertandingan manakala kejayaan diraih Selangor ‘memanjangkan’ rekod tanpa kalah skuad bimbingan Tan Cheng Hoe kepada sembilan perlawanan sejak dilantik menjadi Ketua Jurulatih hujung September lepas.

Di awal permainan, pertembungan kedua-dua pasukan itu yang kali terakhir berentap di pentas separuh akhir pada edisi 2011 dikuasai Terengganu yang mendahului menerusi sepakan percuma ketua pasukan Tchetche Kipre menewaskan penjaga gol Mohd Khairulazhan Mohd Khalid pada minit ke-19.

Terengganu, di bawah bimbingan Mohd Nafuzi Mohd Zain berpeluang menambah jaringan tiga minit kemudian, namun bola tolakan pemain sayap Mohamad Faisal Abdul Halim dalam kotak penalti gagal disambar penyerang Kpah Sherman sebelum dikeluarkan Mohd Khairulazhan.

Mohd Khairulazhan kemudian bertindak cemerlang menyelamatkan percubaan jarak dekat Manuel Ott sebelum Selangor berjaya menjaringkan gol penyamaan selepas pemain pertahanan Richmond Tetteh Ankrah menanduk masuk sepakan sudut Muhammad Mukhairi Ajmal Mahadi pada minit ke-37.

Gol tersebut ternyata membakar semangat Skuad Gergasi Merah sehingga hampir meledak gol kedua tetapi rembatan Hein Htet Aung dari jarak dekat pada minit ke-39 berjaya ditepis keluar Mohd Suhaimi Husin sebelum penjaga gol itu tertewas buat kali kedua empat minit kemudian.

BERITA BERKAITAN Hatrik Bergson benam Kelantan, julang JDT ke separuh akhir Piala Malaysia

Penyerang sensasi Herlison Caion De Souza Ferreira menggandakan kedudukan buat Selangor selepas bijak mencari ruang untuk menanduk masuk sepakan sudut Muhammad Mukhairi sekali gus mencetak gol kelima dalam kempen Piala Malaysia musim ini.

Momentum cemerlang Selangor sepanjang 45 minit pertama diteruskan pada babak kedua yang menyaksikan mereka hanya memerlukan sembilan minit selepas rehat untuk meraih gol ketiga, kali ini giliran pemain pertahanan Sharul Nazeem Zulpakar menanduk masuk sepakan penjuru Muhammad Mukhairi.

Kedudukan 3-1 itu kekal sehingga wisel penamat selepas Terengganu yang merupakan naib juara Liga Super musim ini, mensia-siakan beberapa peluang jaringan terhidang termasuk satu percubaan Kpah Sherman dari jarak dekat yang sekadar menggegar palang pada minit ke-88.

Kekalahan di tempat lawan menyaksikan Terengganu yang kali terakhir muncul juara pada edisi 2001 dan kali terakhir mara ke final pada edisi 2018, berdepan tugas getir pada aksi timbal balik di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak, Isnin ini.

— BERNAMA

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram