Pada Sabtu, 19 November 2022 nanti, dalam kalangan lebih 20 juta rakyat yang layak mengundi, akan mempamerkan keberanian luar biasa mereka memilih calon wakil rakyat untuk diamanahkan berada di Dewn Rakyat Parlimen Malaysia. GAMBAR: Abd Razak Aid

PADA Sabtu, 19 November 2022 nanti, dalam kalangan lebih 20 juta rakyat yang layak mengundi, akan mempamerkan keberanian luar biasa mereka memilih calon wakil rakyat untuk diamanahkan berada di Dewan Rakyat Parlimen Malaysia.

Hingga di saat ini, yang kian nyata ialah:
 Majoriti pengundi Melayu akan sengaja memecahkan undi, ada yang memilih berdasarkan calon, dan ada yang berdasarkan gagasan politik. Strategi ini akan secara langsung memaksa beberapa gagasan utama berkompromi membentuk kerajaan campuran, dengan formula baharu.

 Polarisasi kaum semakin ketara dalam PRU kali ini kerana tiada usaha oleh kerajaan-kerajaan sebelum ini membina semula agenda perpaduan nasional yang sudah kian rapuh. Dalam PRU-15 ini malah ada di antara parti politik yang bertanding sengaja menjadikan isu polarisasi kaum sebagai produk politik mereka.

 Pengundi muda terutama yang mengundi buat pertama kali, akan lebih terpengaruh dengan dorongan pempengaruh dalam kalangan kumpulan sekawan masing-masing.

Mereka adalah generasi netizen yang jauh lebih bijaksana dalam mengakses maklumat mengenai pola kepimpinan di banyak negara yang sudah jauh lebih makmur dan bertamadun dalam sistem kepimpinan negara masing-masing, yang generasi netizen ini inginkan ia berlaku di negara berdaulat ini.

Banyak pihak meramalkan PH mendahului saingan, dengan BN dan PN sebagai dua pesaing utama. Namun kelebihan PH dilihat masih belum mampu membentuk kerajaan. Banyak pihak juga merasa lega apabila ada kenyataan kononnya PN akan berkompromi dengan BN bagi membentuk kerajaan campuran. Namun kenyataan itu disanggah dan kemudiannya dinafikan. Begitulah bercelarunya pemikiran mereka yang meminta dipilih untuk menjadi wakil rakyat

Dengan penafian itu, para pengundi Melayu terutamanya, bertekad untuk mengambil risiko dengan memecah-belahkan undi, demi “mengajar” para calon dalam pelbagai gagasan politik yang tegar untuk berseteru sesama sendiri.

Seperti mana yang pernah saya warkahkan sebelum ini, bahawa para pengundi sudah tidak hirau sangat akan keputusan PRU-15 nanti. Sama ada PH berjaya merampas kembali pemerintahan negara atau PN dan BN akhirnya berdamai menghentikan sengketa, ia tidak langsung membimbangkan rakyat.

Yang mana satu pun terpilih memerintah, tidak akan memperolehi majoriti yang kukuh. Dalam tempoh lima tahun selepas PRU-15 ini, ketidaktentuan politik akan tetap sama seperti kini, selagi barisan pemimpin dalam pelbagai gagasan politik, masih mewarnai pentas politik negara.

Semuanya lebih kurang sama saja, sebab mereka berada dalam zaman yang masih mengamalkan sistem dan budaya politik yang telah ditelan zaman.

Majoriti calon yang bertanding mempunyai satu misi, iaitu untuk menang bagi menggenggam kuasa. Berbeza dengan rakyat sebagai pengundi, mereka mahu memilih khalifah yang mahmudah, yang memohon diberikan mandat demi menggalas amanah dan tanggungjawab memimpin negara.

Baca artikel berkaitan: PRU-15: Pilih calon kekal momentum kemakmuran

Hingga kini, kedua-dua misi itu masih belum bertemu pada satu titik persamaan. Hatta, selagi itulah pengundi akan terus “mengajar” calon dan parti-parti politik, dengan keberanian menanggung risiko ke atas pilihan yang dibuatnya.

Ya, memang ada beberapa tokoh pelapis dalam kalangan calon yang ditampilkan kali ini, tapi ramai daripadanya telah dirosakkan oleh budaya politik semasa yang cintakan politik populis, politik dikuasai golongan mazmummah, politik berdendam, politik
menipu helah dan politik saling membenci serta memecah-belahkan rakyat.

Hakikatnya, para pengundi teurtama mereka yang seangkatan dengan saya, masih dan sanggup bersabar sehingga dua lagi PRU, untuk hendaknya sistem dan budaya politik tanah air dapat diislahkan secara menyeluruh, bukan sekadar menggugurkan calon yang berkudis saja.

Jika rakan-rakan nusantara kita di Indonesia sanggup menunggu hingga ke presiden ketujuh untuk dapat mereka mengecapi semula kemakmuran yang hilang sekian lama, tentunya kita yang serumpun bangsa, juga mempunya keberanian dan kesabaran yang sama.

Yang pasti, rakyat sebagai pengundi sudah muak dengan lakonan, skrip dan taktik tauke-tauke panggung politik memainkan sentimen rakyat.

Yang pasti, mereka itu gagal memahami yang rakyat kini semakin tinggi keyakinannya membina budaya swatadbirurus diri, yang sudah mengurangkan ihsan dan kebergantungan mereka kepada pemimpin politik yang selama ini menjadikan rakyat sebagai “pengemis politik”.

Rakyat sebagai pengundi hanya berminat memilih calon yang bersifat mahmudah, berkeperibadian sehebat khalifah, bermaruah, bersih, cekap dan amanah dalam menggalas tanggungjawab menerajui kepimpinan negara.

Ya, bangsa diutamakan. Ya, agama didahului. Tapi jika seseorang itu terbukti mampu berlaku adil dan saksama, warna kulit, asal keturunan dan agama bukan penentunya. Kesejahteraan, kemakmuran dan keharmonian yang rakyat utamakan.

Insaflah, suatu ketika dulu institusi politik dikomersilkan, maka lahirlah ramai pemimpin politik komersial. Ramai dalam kalangan mereka itu yang terlanjur menjadi penagih rasuah, hingga rosak habis institusi politik dibuatnya.

Suatu ketika dulu institusi pendidikan dipolitik dan dikomersilkan, lari daripada fungsi utamanya membina nilai budaya dan akal budi. Hatta, rosaklah banyak institusi pendidikan kerana dipolitikkan demi meraih kuasa. Atau, dikomersialkan dengan mengiktiraf lulusan UEC serta dianugerahkan biasiswa 1MDB, atas nama kepentingan politik.

Kini, sistem nilai budaya pula dipolitik dan digadaikan, demi merebut atau merampas kuasa politik yang berbaki segenggam. Perwatakan politik amat rakus, tergamak atau rela menggadaikan maruah dan harga diri dengan pelbagai klip video yang dipasarkan melalui pelbagai saluran media sosial seperti tiktok.

Mereka sudah jauh terlanjur hingga terlupa bahawasanya setiap saluran media sosial asing itu mempunyai pangkalan data maya yang teramat besar, menyimpan semua hantaran mereka, yang suatu hari nanti mampu digunakan untuk menaik atau
menjatuhkannya.

Nampak cerdik bila berpidato, hakikinya adalah sebaliknya rakyat yang bijaksana dan siuman, tidak kira apa bangsa, agama atau keturunan, sudah tidak boleh lagi bertoleransi dengan perwatakan politik demikian, yang semakin karut-marut.

Akhir kalam, para sarjana yang kian ramai dilahirkan oleh sistem pendidikan yang bertaraf global, hendaknya bersama rakyat jelata, memformulasi satu sistem politik baharu dengan set nilai budaya nusantara dan dipandu hukum-hakam maqasid syariah.

Ini yang rakyat tagih daripada para sarjana sekelian. Ya, ada yang sudah terlanjur kata, namun masih ramai lagi yang tinggi kesarjanaannya yang wajar bangkit, bukan untuk berpolitik tetapi menawarkan kepada negara berdaulat ini penggubalan satu sistem dan budaya politik yang dinyatakan itu.

Sabtu, 19 November 2022 ini adalah satu permulaan baharu, yang barangkali hasilnya hanya akan dituai di PRU-17 kelak. Kami masih ada masa menunggu saat itu.

Penulis adalah Setiausaha Agung Majlis Perundingan Melayu (MPM)

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram