Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. GAMBAR: Abd Razak Aid

PERBICARAAN kes dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) membabitkan Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini telah dilapangkan selepas Mahkamah Tinggi dimaklumkan bahawa tiada saksi pendakwaan hadir untuk memberi keterangan.

Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib berkata pihak pendakwaan telah cuba memanggil beberapa saksi 1MDB untuk hadir ke mahkamah hari ini tetapi tidak berjaya kerana notis yang singkat.

“Yang Arif, seperti yang dijanjikan, saya telah cuba memanggil saksi-saksi kami. Dua daripada mereka berada di luar negara, manakala tiga lagi tidak dapat hadir ke mahkamah atas pelbagai alasan.

“Bagaimanapun, saksi pendakwaan ke-43 iaitu Pengerusi Kumpulan Media The Edge Tan Sri Tong Kooi Ong hadir hari ini. Beliau sepatutnya disoal balas oleh peguam bela utama Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, tetapi Muhammad Shafee sedang cuti sakit,” katanya.

Baca artikel berkaitan: Keputusan rayuan Najib dapatkan dokumen kes dana 1MDB 8 Disember

Sementara itu, peguam Rahmat Hazlan yang juga mewakili Najib berkata, bosnya (Muhammad Shafee) akan menjalankan pemeriksaan balas terhadap Tong pada Isnin kerana beliau sedang bercuti sakit tiga hari selepas berjumpa doktor gigi.

“Yang Arif, hanya Muhammad Shafee boleh menyoal Tong. Gusinya masih sakit akibat prosedur, dan beliau masih MC (cuti sakit),” kata peguam itu.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah kemudian melapangkan perbicaraan kes hari ini dan akan bersambung pada Isnin.

Najib, 69, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

— BERNAMA

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram