Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob GAMBAR: Abd Razak Aid

JAWATANKUASA Bencana Negeri di seluruh negara telah diaktifkan dan diarah untuk bersiap sedia walaupun hanya beberapa kawasan dilanda banjir kilat ketika ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, arahan telah dikeluarkan menerusi mesyuarat Jawatankuasa Bencana Negara.

Jelas beliau, mesyuarat tersebut diwakili semua agensi dan wakil kerajaan memandangkan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) sedang berlangsung.

“Saya dah beberapa kali terangkan…Kita dah memanggil mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Banjir Kebangsaan, cuma sekarang tidak diwakili Menteri Besar, Ketua Menteri sebab pilihan raya.

“Tetapi diwakili semua agensi, wakil kerajaan dan sebagainya dan arahan telah dikeluarkan untuk bersedia, pihak PDRM, JBPM dan Jawatankuasa Bencana Negeri telah diaktifkan,” katanya memetik lapora Astro Awani.

Baca lagi: PRU-15: ‘Iltizam Saya Untuk Malaysia’ amanat Ismail Sabri

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, semua agensi di peringkat negeri dan daerah telah bersiap sedia sepenuhnya untuk menghadapi sebarang kemungkinan.

Ketika ini masih banjir kilat, belum lagi disebabkan monsun walaupun dah bermula masuk ke Timur Laut. Kita harap dan berdoa supaya tidak berlaku banjir besar.

“Setakat hari ini belum lagi (banjir besar) walaupun di Rantau Panjang, Kelantan berlaku banjir dianggap banjir kilat. Untuk menghadapi Monsun Timur Laut sebenar semua dah bersedia,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata, fokus utama ketika ini adalah di kawasan berisiko banjir seperti di Sri Muda dan Klang yang terjejas teruk sebelum ini.

“Saya harap pihak Majlis Daerah, Majlis Perbandaran, Majlis Bandaraya seperti di Klang atau Shah Alam, contohnya di Sri Muda kalau berlaku seperti dulu saya harap peringkat negeri memastikan jawatankuasa pengurusan bencana negeri bersedia.

“Yang paling penting sekali adalah ground zero itu sendiri iaitu di kawasan banjir maka pengurusan bencana peringkat daerah mesti disediakan,” katanya.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram