Tengku Razaleigh Hamzah. GAMBAR: Abd Razak Aid

CALON berusia yang bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tidak boleh dianggap sebagai satu kelemahan terhadap sesebuah parti politik malah masih relevan pada sesetengah tempat dan lokaliti.

Pengarah Pusat Pengajian Perangsaraf, Media dan Informasi Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam Dr Suhaimee Saahar @ Saabar berkata, usia dan pengalaman hanya diambil kira oleh para pengundi berdasarkan keadaan serta persekitaran sesebuah kawasan.

“Sekiranya lokaliti adalah jenis yang ringkas, tidak rumit atau kawasan luar bandar yang tidak rumit dari segi pembangunannya, usia calon tidak diambil kira.

“Asalkan calon itu boleh berkhidmat, berpengalaman dan mempunyai hubungan dengan komuniti dan industri. Itu yang boleh membantu calon berkenaan untuk terus berkhidmat di kawasan itu,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Suhaimee berkata pengundi juga cenderung menilai sumbangan yang dibuat oleh penyandang bagi mengekalkan calon berkenaan sebagai wakil rakyat di kawasan yang sama.

“Selain usia, kriteria yang pengundi turut perhatikan seperti jasa dan sumbangan calon atau penyandang di kawasan tersebut selama ini…seterusnya mereka akan menilai sama ada relevan atau tidak mengekalkan wakil rakyat tersebut di situ,” katanya.

Baca artikel berkaitan: PRU-15: ‘Iltizam Saya Untuk Malaysia’ amanat Ismail Sabri

Bagaimanapun Suhaimee mengakui terdapat pengundi yang mendambakan perubahan sekali gus berpendapat jawatan pemimpin perlu diisi oleh golongan lebih muda.

“Tetapi ada juga pengundi di beberapa kawasan yang melihat kepimpinan muda harus diberi peluang, dan anak muda ini ada dua kelompok iaitu profesional dan yang aktif dalam politik.

“Masa yang akan menentukan potensi kemampuan dan kredibiliti calon-calon muda ini untuk dipilih oleh pengundi sebab mereka akan memimpin dan berkhidmat selama lima tahun sebelum dinilai semula oleh para pengundi,” katanya.

Ahli Parlimen paling lama daripada Barisan Nasional Tengku Razaleigh Hamzah, melakar sejarah tersendiri apabila bertanding untuk mempertahankan kerusi Parlimen Gua Musang pada PRU15.

Tengku Razaleigh,85, yang mula bertanding di Parlimen Ulu Kelantan (sekarang dikenali Parlimen Gua Musang) pada 1974 adalah wakil rakyat paling lama berkhidmat di negara ini iaitu selama 12 penggal di peringkat Parlimen.

Ketua UMNO Bahagian Gua Musang itu akan berentap dalam pertandingan empat penjuru untuk menentang calon Gerakan Tanah Air Datuk Dr Samsu Adabi Mamat, Datuk Mohd Azizi Naim (Perikatan Nasional) dan Asharun Uji (Pakatan Harapan) pada hari pengundian Sabtu ini.

— BERNAMA

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram