ASSALAMUALAIKUM warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Keluarga Malaysia.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi.

Tanggal 21 Ogos 2021, takdir Allah SWT, saya menggalas tanggungjawab untuk menerajui negara dan ia bukan satu tugas yang mudah.

Saya mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ketiga dalam penggal yang sama, dari peralihan tiga kerajaan dalam tempoh tiga tahun adalah episod gelap kepada negara.

Waktu itu, kita berhadapan ancaman pandemik COVID-19, jumlah pesakit harian mencecah puluhan ribu, mengorbankan ratusan rakyat sehari dan menyebabkan fasiliti perubatan hampir lumpuh.

Tidak cukup dengan itu, negara berhadapan krisis ekonomi. Jumlah pengangguran meningkat lebih 700,000 orang, banyak sektor perniagaan terpaksa gulung tikar dan rakyat hilang mata pencarian.

Justeru saya bertekad, kita harus teguh bersama seperti sebuah keluarga untuk memulihkan negara.

Atas kesedaran dan iltizam ini, pentadbiran saya melancarkan inisiatif Keluarga Malaysia.

Sepanjang tempoh 15 bulan, inilah 15 inisiatif yang telah kita capai bersama.

  1. Mengembalikan kestabilan politik dan perpaduan
  2. 98.7 peratus telah divaksin melalui Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK)
  3. Pertumbuhan ekonomi yang terbaik di Asia Tenggara – KDNK 14.2 peratus pada suku ketiga 2022
  4. Bantuan tunai dan subsidi terbesar – RM77.7 bilion
  5. 600,000 pekerjaan berjaya diwujudkan melalui Skim Jamin Kerja
  6. Transformasi undang-undang:
    • Akta Anti Lompat Parti
    • Akta Anti Gangguan Seksual
    • Pindaan SOSMA
  7. Kebebasan badan kehakiman dan legislatif
  8. Memperkasakan Bahasa Melayu
  9. Pelan Tindakan Dasar Sekuriti Makanan Negara bagi memastikan bekalan makanan mencukupi
  10. Gaji minimum RM1,500
  11. Pemerkasaan wanita menerusi:
    • Penubuhan Majlis Wanita Negara
    • Pemerkasaan Institusi Hakam di bawah Mahkamah Syariah
    • Akta Pembiayaan Kewangan melalui Jabatan Kehakiman Syariah
  12. Inisiatif belia:
    • Pelantikan wakil belia sebagai Senator Dewan Negara
    • Peranti Siswa kepada 400,000 pelajar B40
    • Kredit mikro untuk usahawan belia
  13. Kebajikan penjawat awam:
    • Bantuan Khas Kewangan penjawat awam dan pesara kerajaan
    • Kenaikan gaji tahunan khas RM100
    • Kenaikan kadar cuti maksimum
    • Perluasan tafsiran ahli keluarga bagi kemudahan cuti
    • Tambahan kadar cuti rehat khas
  14. Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) diperkasakan melalui pindaan Perlembagaan
  15. Meningkatkan kesejahteraan 113,000 peneroka Felda

Hari ini, keadaan bertambah baik dan kita mampu bergerak maju ke hadapan namun masih banyak yang perlu kita laksanakan untuk menjadi sebuah negara bangsa yang teguh bersama dan kembali dihormati di persada dunia.

Baca artikel berkaitan: Kerajaan jaga kepentingan semua Keluarga Malaysia – PM

Pada 19 November ini, Keluarga Malaysia akan melaksanakan tanggungjawab untuk memastikan negara ini terus ditadbir dengan baik.

Insya-Allah, jika saya diberi peluang meneruskan pentadbiran ini, empat ILTIZAM SAYA untuk Malaysia.

Pertama, menyatupadukan rakyat demi kesejahteraan dan kebajikan Keluarga Malaysia.

Kedua, menyuburkan kemakmuran ekonomi dan pembangunan negara.

Ketiga, memelihara kesucian agama Islam tanpa meminggirkan agama lain selaras dengan Perlembagaan Persekutuan.

Keempat, memperkasa integriti tadbir urus negara.

Inilah Iltizam Saya Untuk Malaysia, demi kestabilan dan kemakmuran masa depan tanah air kita.

Saya, Ismail Sabri bin Yaakob dengan rendah diri memohon kepada semua pengundi untuk memberi kepercayaan kepada saya dan Barisan Nasional (BN) menerajui negara bagi penggal akan datang.

Semoga Allah SWT terus merahmati serta memelihara negara dan Keluarga Malaysia.

Ya Allah, sesungguhnya kepada-Mu kami berserah.

Undilah Barisan Nasional, terima kasih Keluarga Malaysia!

Teks ucapan penuh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menerusi rakaman video ‘Iltizam Saya Untuk Malaysia’.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram