PERSATUAN Pengarah Filem Malaysia (FDAM) menggesa agar semua ahlinya dan penggiat seni keluar mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang akan diadakan pada 19 November ini.

Bagi memastikan proses PRU15 berjalan lancar, FDAM memohon agar semua syarikat produksi dan stesen TV termasuk pengarah yang sedang atau akan menjalani penggambaran pada tarikh PRU15 supaya penggambaran dapat ditangguhkan bagi tujuan mengundi.

Menurut presiden FDAM, Dr Ahmad Ibrahim, penggiat seni turut memainkan peranan penting sebagai rakyat Malaysia untuk pergi mengundi. 

“Ini merupakan tanggungjawab penting yang wajib dilaksanakan tanpa ada sebarang alasan, kekangan atau isu membabitkan aspek kerja pada tarikh PRU15.

“FDAM juga memandang serius sekiranya ada syarikat produksi mahupun stesen TV yang bersikap tidak bertimbang rasa dalam memberi kebenaran pada penggiat seni pergi mengundi.

“Apa jua penggambaran boleh ditangguhkan kerana mengundi pada PRU15 merupakan tugas penting demi masa depan negara kita sendiri,” katanya.

Sebagai cadangan, FDAM meminta syarikat produksi dan stesen TV membuat penjadualan semula tarikh penggambaran yang sepatutnya dilakukan pada tarikh mengundi PRU15.

FDAM juga menyokong dan berterima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kerana memberikan cuti khas sehari sebelum tarikh mengundi iaitu pada 18 November untuk penggiat seni balik mengundi.

“Sudah tentu ada penggiat seni yang mungkin mengundi di kampung mereka yang jauh dan ini memberi peluang pada mereka pulang untuk mengundi.

“Buat semua ahli FDAM dan penggiat seni, marilah kita beramai-ramai pergi mengundi pada 19 November ini. Penggiat seni juga penentu masa depan negara, tunaikan kewajipan anda pada negara,” ujarnya.