Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin. GAMBAR: Abd Razak Aid

“KENYATAAN saya diambil di luar konteks dan ditularkan oleh lawan politik Perikatan Nasional (PN) khusus untuk memburukkan imej saya serta mencipta naratif palsu.”

Itu penegasan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin susulan klip video tular di TikTok yang telah disunting daripada ceramah beliau di Johor, beberapa hari lalu.

Menurut Muhyiddin, klip video yang telah disunting itu secara tidak bertanggungjawab itu hanya berdurasi satu minit 35 saat daripada keseluruhan kira-kira 55 minit ucapan beliau.

Malah, Muhyiddin berkata, beliau turut secara khusus bercakap tentang keperluan untuk kestabilan politik; mengelakkan rasuah; keperluan DAP mengendurkan tuntutan dan menghormati hak semua kaum termasuk hak istimewa orang Melayu dan Raja-Raja Melayu.

“Ketika minit ke-48 ucapan, saya juga tidak berbelah bahagi menyatakan hasrat PN untuk melaksanakan Wawasan Kemakmuran Bersama supaya tiada satu kaum pun yang terpinggir.

“Saya berkata: Semua orang mesti makmur. Melayu, Cina, India mesti berkongsi bersama. Supaya kemakmuran negara kita boleh dikongsi oleh semua kaum.” katanya dalam kenyataan hari ini.

Baca artikel berkaitan: Persona Anwar, prestasi Ismail Sabri dan rekod pencapaian Muhyiddin jadi taruhan – Ilham Centre

Mengulas lanjut, Muhyiddin yang juga calon PN bagi kerusi Parlimen Pagoh turut mengulangi komitmen gabungan itu terhadap keadilan dan kesaksamaan.

Katanya, keseluruhan ucapan beliau adalah untuk menggalakkan kestabilan; kedaulatan undang-undang; keadilan kepada semua kaum dan agama serta menegakkan kedaulatan undang-undang.

“Sebagai rekod, saya hanya mengulas tentang klip video yang tersebar sewaktu tempoh pilihan raya di mana kumpulan agama asing secara khusus berdoa supaya kerajaan jatuh ke tangan pembangkang.

“PN terus menegakkan kestabilan, keadilan kepada semua dan bebas daripada rasuah,” jelas beliau.

Dalam video yang tular di TikTok, Muhyiddin didakwa mengaitkan Pakatan Harapan (PH) dengan kumpulan Yahudi dan kristian yang cuba mengambil alih Malaysia.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram