Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin. GAMBAR: Abd Razak Aid

PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin gelombang baharu akan muncul untuk membersihkan sampah sarap politik dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Jelas Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu, ia berikutan trend undi awal yang mencatat hampir 94.5 peratus, yakni tertinggi dalam sejarah baru-baru ini.

Jelas beliau, kebangkitan rakyat untuk memilih kerajaan yang lebih berwibawa dan menolak parti bermasalah semakin jelas kelihatan sepanjang tempoh berkempen.

“Apakah rakyat akan pilih Barisan Nasional (BN)? Kenapa nak pilih parti yang sudah dikaitkan dengan rasuah berleluasa yang menjadi amalan dan DNA UMNO sejak dahulu sampai sekarang. 

“Rosak negara kalau dibiarkan mereka dipilih untuk menerajui negara kita dalam selepas pilihan raya nanti.

“Jangan bagi satu undi kepada mereka, satu pembaziran, satu undi yang diberi kepada mana-mana calon BN adalah satu undi kepada perasuah, penjenayah dan undi kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam ceramah Jelajah Perdana PN Best di Kompleks Sukan Pagoh hari ini.

Turut hadir ialah Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang; Presiden Parti Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai dan pemimpin-pemimpin PN yang lain.

Baca lagi: Rakyat mahukan ‘Abah’ semula, kata Muhyiddin

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, rekod mutakhir UMNO dan BN sehingga kini adalah sinonim dengan perkara mungkar dan telah melakukan kerosakan besar kepada negara. 

Muhyiddin yang pernah menjadi Timbalan Perdana Menteri ketika era pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak turut mengimbau situasi beliau ‘ditendang’ daripada UMNO dan hilang jawatan kerana menegakkan kebenaran.

“Saya tegur Najib ketika berada dalam kerajaannya suatu ketika dahulu. Saya kata jangan lakukan perbuatan yang sedang beliau lakukan waktu itu iaitu mencuri wang rakyat berbilion ringgit.

“Saya sebagai pemimpin yang diberi amanah dan bertanggungjawab perlu menegur kesalahan itu walaupun Najib adalah Perdana Menteri pada waktu tersebut.

“Apa nasib saya? Ditendang keluar daripada UMNO dan dipecat daripada Timbalan Perdana Menteri. Jadi, saya nak ingatkan BN dan UMNO tidak layak dipilih sebagai kerajaan,” katanya.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram