KURANG beberapa jam sahaja lagi, rakyat Malaysia akan keluar mengundi pada hari esok untuk Pilihan Raya ke-15 (PRU15).

Semestinya ia merupakan tarikh penting untuk semua termasuklah golongan selebriti yang tidak terkecuali aakn turut sama menjadi pengundi.

Pelbagai pandangan orang ramai telah dilontarkan sepanjang kempen PRU15 berlangsung sejak dua minggu lalu.

Ia termasuklah pelakon Fizo Omar yang menyeru masyarakat terutama generasi muda untuk bersama-sama turun mengundi bagi memilih pemimpin yang layak untuk menjaga kesejahteraan dan keamanan Malaysia.

Malah, kata Fizo, setiap individu perlu ambil tahu latar belakang bakal pemimpin supaya undi yang dibuat itu akan mendatang manfaat buat semua.

“Ramai yang masih atas pagar. Hmmm…tengah fikir nak pangkah apa? Tak hairanlah kan, lagi-lagi yang baru pertama kali nak mengundi.

“Iyalah kita ini sibuk bekerja cari rezeki siang dan malam sampai tahap tak kisah dah parti mana, siapa yang jadi pemimpin.

“Akhirnya, hidup kita sama saja. fikir macam mana nak teruskan kehidupan kan? Sebenarnya kita kena ambil tahu juga. Tak perlu sampai tahap taksub politik tapi sekurang-kurangnya kita kena buang undi untuk tentukan kerajaan yang stabil dan kukuh,” tulisnya.

Dalam pada itu, Fizo turut berpendapat mengenai kerajaan campuran seperti sebelum ini, kestabilan negara akan tidak dapat dicapai sekiranya sering bertukar parti pemerintah.

“Kalau kerajaan gabungan ni, mungkin episod yang sama sebelum ini akan berlaku lagi. Jadi, bila nak stabilnya ekonomi negara kita kalau asyik bertukar kerajaan dan Perdana Menteri kan?

“Tinggal beberapa jam saja lagi kita nak tentukan masa depan negara. Ini tanggungjawab dan bukan benda yang boleh buat main.

“Kita rakyat nak pilih kerajaan, Perdana Menteri bukannya nak pilih ketua darjah kan.

“Saya lebih suka pemimpin yang berkempen secara sihat tanpa membuka aib dan memburukkan mana-mana pihak,” tulisnya menerusi hantaran di Instagram.