Tangkap layar rakaman memaparkan aksi seorang lelaki mendera seorang wanita di daerah Kajang.

SEORANG suami zalim yang bertindak memukul isteri sehingga tular di media sosial di sebuah kondominium dekat Batu 9, Cheras, Kajang, ditahan polis pukul 4.35 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu daripada mangsa sendiri, pada 9.38 malam, Isnin lalu.

Beliau berkata, mangsa berusia 45 tahun telah dipukul suspek dengan menggunakan tangan serta kaki selain ditarik rambut dan ditendang di kepala sebelum mangsa bertindak melarikan diri.

“Siasatan mendapati kejadian dilihat oleh pembantu rumah, pemandu peribadi suspek dan anak perempuan mangsa berusia tujuh tahun,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Baca artikel : Polis sahkan terima laporan kes dera wanita dekat Kajang

Jelasnya, mangsa telah menerima rawatan awal di hospital dan disahkan mengalami kecederaan akibat dipukul di kedua belah mata, kepala, kaki dan belakang badan.

Mohd Zaid berkata, suspek berjaya ditahan di kawasan Setapak dan hasil semakan mendapati mempunyai satu rekod jenayah melibatkan kes pemerasan.

“Satu kertas siasatan telah dibukan dan siasatan dijalankan dibawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga 2017,” katanya.

Tambahnya, suspek direman selama empat hari sehingga Selasa bagi membantu siasatan.

Mohd Zaid yang ditanya sama ada suspek merupakan bekas suami seorang penyanyi tempatan, beliau menjawab “tidak berkaitan dengan siasatan kes di Kajang”.

Sehubungan itu, orang awam yang mempunyai maklumat mengenai kejadian boleh berhubung dengan Pegawai Penyiasat, Inspektor Ahmad Rahmat Adnan di talian 014-515 6933.

Semalam, UtusanTV melaporkan tular sebuah klip video memaparkan aksi seorang wanita didera seorang lelaki di sebuah rumah.

Lebih menyayat hati, kejadian tersebut dilihat oleh seorang kanak-kanak perempuan yang menangis meminta tolong kepada individu yang merakamkan kejadian.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram