hati-hati dengan pelesit

“Siapa kau sebenarnya?” Suara perempuan itu menjawab dalam keadaan mata terpejam.

“Saya dihantar, Rokiah anak Seman yang duduk di hujung kampung sana hantar saya ke sini.”

Ustaz bertanya lagi, “Kenapa kau gangu dia?”

Suara itu menjawab lagi, “Tuan aku marahkan dia sebab tak izinkan potong padi, petang tadi dia datang minta  kerja dengan Milah tapi dia tak bagi tuan aku kerja. Jadi dia tinggalkan aku untuk mengganggu Milah.”

“Keluar, jangan ganggu dia lagi, pergi balik kepada tuan kamu. Kalau tak aku kerjakan kamu.”

Menjerit-jerit suara perempuan itu apabila disuruh keluar. Milah kemudiannya terus tidak sedarkan diri. Lalu ustaz membacakan beberapa surah daripada al-Quran untuk menghalau pelesit itu.

Itu antara kisah si tuan pelesit yang cemburu. Angkara cemburu yang tertanam dalam diri tuannya, orang lain menjadi mangsa. Tidak mampu untuk membalas sendiri lain pula dihantar untuk membuat perhitungan. Memang adat manusia hari ini suka membela syaitan sebagai perisai.

Bagi mereka yang percayakan syaitan sebagai pelindung dan perisai, sampai bilakah makhluk halus itu mampu patuh kepada tuannya? Apa akan terjadi apabila tuan si pelesit sudah mula terpesong niat asalnya?

Menjawab persoalan itu, Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib dan Disiplin Persatuan Kebajikan dan Perubatan Islam Darussyifa, Bandar Baru Bangi, Abdul Rashid Ahmad menyatakan, “Biasanya pelesit dipelihara oleh wanita”.

Pada awalnya mereka memelihara pelesit hanya sekadar untuk pemanis kecantikan dan untuk menjaga keselamatan diri sendiri. Namun ia bertukar menjadi makhluk halus yang mengganggu orang lain apabila tuannya menyimpan dendam atau sakit hati terhadap seseorang.

“Pelesit tidak perlu diarah untuk mengganggu seseorang. Apabila tuannya sakit hati, secara tidak langsung pelesit belaan itu mengganggu orang yang menyakitkan hati tuannya. Seperti yang diketahui, pelesit atau apa sahaja makhluk halus boleh melihat manusia, sebaliknya manusia tidak mampu melihatnya secara jelas kerana ia sering menjelma,” terangnya.

Tambahnya lagi, pelesit dikatakan sering menjelma menyerupai bentuk belalang, terutamanya belalang daun. Mungkin tidak ramai yang sedar kehadiran pelesit ini di rumah terutamanya waktu senja kerana saiz belalang agak kecil untuk dilihat.

Tetapi, bagi memastikan ia pelesit yang menjelma menjadi belalang, ia akan mengeluarkan bunyi seperti tik..tik..tik.. jika ada bunyi sedemikian, itu adalah pelesit.

Namun jangan pula dibunuh belalang itu, cukup sekadar membacakan ayat kursi serta beberapa surah lain kemudiannya halau belalang itu. Hal yang demikian kerana belalang itu tidak membahayakan manusia seperti ular, lipan dan sebagainya.

Justeru, kepercayaan mematahkan kepala belalang di hujung baju sebagai petanda untuk membezakan belalang biasa atau belalang pelesit seperti mana biasa diamalkan, tidak betul sebenarnya. 

“Pelesit mengganggu manusia dalam dua cara iaitu melalui gigitan luar yang mengakibatkan lebam-lebam dan meninggalkan kesan tiga lubang akibat gigitan. Selain itu, pelesit juga meresap masuk ke dalam tubuh manusia dan menyebabkan seseorang itu akan meracau kerana rasukan pelesit yang menumpang tubuhnya.

“Seseorang yang dimasuki pelesit boleh sedar ketika pelesit masuk dengan merasakan hujung jari seperti ditusuk jarum. Biasanya akan berlaku pada waktu senja,” ujar Abdul Rashid.

Cara elak gangguan pelesit

Jelasnya lagi, waktu senja merupakan peralihan antara siang dan malam. Di kala senja banyak syaitan yang berkeliaran dan akan bergantungan dengan apa sahaja yang mereka boleh bergantung.

Oleh sebab itu kebanyakan ibu bapa akan memastikan anak-anak mereka berada di dalam rumah ketika senja. Bukan sahaja anak-anak, malah makanan, haiwan peliharaan juga perlu ditutup dan dilindungi bila menjelang senja.

Begitu juga dengan tidur di waktu senja. Hari ini pantang larang begini tidak lagi diendahkan, semuanya main langgar sahaja sehingga tidak langsung  menghiraukan waktu untuk tidur.

Syaitan cukup suka kepada mereka yang gemar tidur di waktu petang sehingga menjelang maghrib kerana waktu tersebut merupakan waktu paling mudah untuknya memasuki tubuh manusia.

Justeru, bagi mengelakkan gangguan pelesit, Islam menyarankan supaya bacaan bismillah sentiasa meniti di bibir. Apa sahaja yang dilakukan perlulah menyebut nama Allah sebagai pelindung.

Nama Allah itu besar hikmahnya, bukan sahaja untuk mengingati dan bersyukur malah digunakan sebagai penghalang sihir di mana ungkapan yang disebut nama Allah seperti ‘Bismillah’ tidak mampu ditembusi oleh makhluk halus walaupun pada zahirnya sifat kejadian jin dan syaitan sememangnya halus dan tiada berbentuk sebagaimana kejadian api.

Katanya lagi, begitu juga dengan aurat perlu ditutup dengan rapi semata-mata kerana Allah bagi mengelakkan makhluk halus tidak dapat masuk. Apabila aurat didedahkan ia akan mengundang syaitan dan jin jatuh cinta terhadap wanita itu. Disebabkan itu Allah menyuruh setiap wanita menjaga aurat, bukan sahaja dengan bukan mahram malah dengan makhluk halus.

Betul, manusia tidak mampu melihat makhluk halus dengan mata kasar, tetapi menurut Abdul Rashid, ada caranya untuk kita menghalang pandangan syaitan daripada melihat aurat terutamanya ketika menyalin pakaian dan ketika masuk ke tandas.

“Walaupun makhluk halus ini boleh melihat aurat manusia, namun penglihatan mereka akan terhalang sekiranya manusia membaca doa masuk tandas dan paling tidak sekalipun dengan ungkapan Bismillah, mampu melindungi aurat manusia.

“Bagi mengelakkan gangguan makhluk halus, boleh mengamalkan bacaan ayat kursi setiap kali selepas solat dan diikuti dengan surah tiga Qul. Manakala bagi mereka yang mengalami datang bulan, mereka paling senang didampingi makhluk halus. Ini kerana mereka berada dalam keadaan tidak suci dan selalunya tidak  dalam pelindungan. 

Oleh itu disarankan mereka membaca “Bismillahirrahmanirrahim” sebanyak 21 kali dengan niat berzikir. Wallahu a’lam

_____________________________________________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram