Calon Perikatan Nasional Parlimen Tambun, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berucap ketika hadir pada Jelajah PN Best Tambun di Ipoh, baru-baru ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

KEPUTUSAN pengiraan undi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diharapkan tidak berlanjutan sehingga ke lewat malam.

Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yakin Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mampu melakukannya berdasarkan pengalaman yang dimiliki.

Malah, katanya SPR juga mempunyai petugas mencukupi selain penggunaan teknologi yang boleh mempercepat dan melancarkan urusan berkenaan.

“Saya harap jangan lama sangat. Dunia makin hari makin maju. Lagi pun SPR ada cukup petugas.

“Saya fikir nak kira undi bukan terlalu sulit. Harap tak perlu tunggu sampai tengah malam. Saya juga harapkan semuanya berjalan lancar,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

Beliau berkata demikian selepas hadir mengundi di Sekolah Agama Rakyat (SAR) Ihtidayah Tambun Height, pagi tadi.

Terdahulu, Ahmad Faizal yang juga calon PN kerusi Parlimen Tambun tiba bersama isteri, Datin Seri Dr Nomee Ashikin kira-kira jam 7.55 pagi.

Mengenai peluang untuk mengekalkan kerusi yang disandangnya itu, Ahmad Faizal optimis PN mampu mencapai kejayaan bersandarkan gelombang sokongan terhadap gabungan parti di seluruh negara.

“Secara jujurnya selepas dua minggu berkempen, saya rasa ada gelombang di seluruh negara yang menyokong PN …sangat menggalakkan,” katanya.

Berkenaan calon PN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman yang meninggal dunia pagi tadi, Ahmad Faizal berharap SPR dapat membuat satu keputusan yang baik untuk semua pihak.

Kepada keluarga Allahyarham, beliau mengucapkan takziah sambil mendoakan rohnya dicucuri rahmat.

“Saya rasa amat berduka cita dan ingin menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga beliau dan kita sama-sama doakan agar roh Allahyarham ditempatkan bersama-saa orang beriman serta beramal soleh,” katanya.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram