HARI ini merupakan tarikh penting bagi seluruh rakyat Malaysia yang layak untuk mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Tidak terkecuali, pelakon Elfira Loy turut melahirkan rasa teruja dan dalam masa sama gementar untuk keluar mengundi sehingga sukar untuk tidur malam.

“Alhamdulillah sudah tunaikan tanggungjawab untuk PRU15. Tiba di pusat mengundi pada pukul 7.50 pagi dan selesai pada 8.30 pagi.

“Pergi awal sebab terlalu gemuruh sehingga tidak boleh tidur,” katanya.

Elfira atau Nurul Elfira Loy Ahmad Sabri,28, berkata demikian menerusi perkongsian di akaun Instagram miliknya.

Dalam pada itu, Elfira sempat berkongsi tips kepada bakal pengundi yang akan ke Pusat Mengundi yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya.

“Pastikan anda berada di lokasi dan saluran mengundi yang betul dan periksa saluran mengundi anda.

“Kalau tak tahu, boleh semak semula atau ada saja kaunter semakan sebelum pergi pos mengundi.

“Sebaiknya pegang telefon bimbit dan kad pengenalan sahaja supaya proses lebih lancar. Bila tiba giliran, kemukan kad pengenalan dan tangkap layar semakam daftar pemilih daripada laman sesawang itu.

“Kemudian, untuk proses celup jari tapi tak payah ‘over’ celup sampai dalam botol dakwat macam saya, “pesannya.

Tambah Elfira lagi, cecair pembasmi kuman (sanitizer) dan pen tidak perlu dibawa kerana sudah disediakan di tempat pengundian.

Jelasnya lagi, urusan proses mengundi akan lebih cepat diselesaikan sekiranya setiap individu mengikut arahan sebaiknya.

“Semuanya akan lebih cepat jika anda sendiri mudahkan proses tersebut.

“Kalau bawa beg besar, baru nak keluarkan, lepas itu nak simpan semula…nak pegang itu dan ini, nak pakai pen sendiri. Memang lama lah ceritanya.

“Saya pengundi ke-12 pun lama juga menunggu sebab orang depan macam tu lah.

“Jadi, marilah kita semua mudahkan proses mengundi dan pergi mengundi,” ujarnya.