ADA kajian sebelum ini mendedahkan bahawa setiap manusia berpotensi untuk menjadi dungu atau kurang cerdik. Atau dalam bahasa mudahnya menjadi ‘bodoh’. Bagaimanakah perkara itu boleh terjadi?

Pada tahun 2014, sekumpulan saintis dari Amerika Syarikat yang menjalankan kajian mencari penyebab terjejasnya fungsi kognitif pada manusia telah menemukan tanpa sengaja sejenis virus berbahaya, dipanggil Acanthocystis turfacea chlorella virus 1 (ACTV-1). Virus ini turut digelar ‘stupid virus’.

Virus ini bukanlah penyebab kematian, tetapi dipercayai boleh membuatkan fungsi kecerdasan otak seseorang yang dijangkiti itu menjadi perlahan.

Saintis yang terlibat, Johns Hopkins University di Baltimore dan University of Nebraska telah cuba untuk memahami bagaimana virus tersebut muncul dan menjangkiti manusia. Malah, virus ini juga ditemui pada tekak pesakit psikitrik.

Bagi mencari jawapannya, mereka melakukan ujian fungsi kognitif ke atas 33 orang individu, termasuk pemeriksaan pada tekak sampel.

Selepas mengawal pelbagai pemboleh ubah, penyelidik mendapati sesuatu yang tidak dijangka kerap muncul pada tekak sampel. Apabila penyelidik cuba memastikan hal itu dengan memperluaskan kajian dari 33 orang kepada 92 orang, keputusannya tetap sama. Hampir separuh daripada sampel atau kira-kira 44 orang didapati mempunyai virus ACTV-1 pada kerongkong mereka.

Lalu, apakah terjadi pada mereka yang dijangkiti virus itu? Berdasarkan penelitian, sampel akan mengalami prestasi penurunan pada kemampuan otak terutama dalam mengenal pasti gambar atau visual.

Virus tersebut turut didapati memiliki keupayaan untuk menggandakan DNA dirinya lalu mengatur ekspresi dari gen dalam otak manusia, termasuk memori dan emosi.

Masih tidak berpuas hati dengan dapatan itu, penyelidik melanjutkan pula kajian mereka ke atas tikus. Mengejutkan, keputusan ujian makmal terbukti sama seperti awal ujian di mana kesan penurunan kecerdasan otak turut didapati menyerang tikus-tikus terbabit.

Menurut Profesor Robert Yolken, saintis dari Johns Hopkins University, tikus-tikus itu telah sengaja diberikan virus ACTV-1 oleh para peneliti. Selepas diberikan virus, penyelidik melakukan analisis pada gen di hippocampal dalam otak tikus yang dijangkiti.

Hasil daripada penelitian itu menunjukkan, perubahan sama telah dikesan di mana lebih daripada 1,200 gen telah dijangkiti ACTV-1. Antara gen-gen tersebut ada yang diketahui memainkan peranan dalam pembentukan pembelajaran dan ingatan.

Impaknya, tikus-tikus yang diserang ACTV-1 semakin kurang cerdas dalam melakukan tugas-tugas mudah, termasuk cara bagaimana untuk mendapatkan sepotong keju. Walhal dalam keadaan normal, haiwan itu memiliki kemampuan yang luar biasa dalam mencari sumber makanan, walau dalam apa keadaan sekali pun.

Apakah sebenarnya ACTV-1 ini? Terang Profesor Yolken, berjuta-juta virus telah diketahui hidup dalam tubuh manusia. Dan buat pertama kalinya, para saintis sedang cuba mengkaji keupayaan virus-virus itu dalam menyerang badan manusia.

Sebagai penyelidik yang terlibat dalam kajian tersebut, kemampuan virus ACTV-1 menjangkiti tekak manusia, seterusnya merubah sifat dan keperibadian seseorang turut menarik perhatian saintis.

Virus ACTV-1 sebenarnya bukan sesuatu yang asing dalam kehidupan manusia. Ia dikesan hidup sangat dekat dengan manusia. Ini kerana, kehadirannya boleh ditemukan pada tumbuhan jenis alga yang banyak terdapat di persekitaran kita, terutama dalam tasik air tawar.

Alga merupakan organisma autotrof, iaitu organisma yang dapat mengubah bahan an-organik menjadi organik. Dengan kata mudah, ia berupaya membuat makanan sendiri dengan bantuan tenaga seperti tenaga cahaya matahari dan kimia.

Bagaimana virus ini hidup pada alga.

Profesor James an Etten, seorang ahli biologi dari University of Nebraska merupakan ilmuwan pertama berjaya mengenal pasti virus dalam alga. Beliau yang menjumpai virus itu kira-kira 30 tahun lalu berkata terdapat banyak kajian menunjukkan, mikroorganisma dalam badan manusia biasanya membawa pengaruh yang lebih besar.

Bagaimanapun katanya, perkara itu berbeza dengan virus ACTV-1. Ini kerana, virus tersebut didapati memiliki keupayaan yang tidak disangka-sangka, bahkan di luar daripada segala ramalan saintis.

Betapa tidak, virus ini tidak mendatangkan penyakit ataupun kematian seperti virus Ebola atau seangkatan dengannya. Tambah pula, kehadiran virus ACTV-1 dalam tubuh manusia langsung tidak disedari. Sesiapa sahaja tanpa mengira usia, pangkat, bangsa, sihat atau sakit, kaya atau miskin. Sesiapa saja boleh dijangkiti virus ini.

Lazimnya, seseorang yang dijangkiti tidak akan merasa atau mengalami sebarang simptom. Tetapi ia boleh dilihat dalam jangka masa yang lama sehinggalah tahap kognitif individu itu menurun atau lebih tepat lagi mula menjadi kurang cerdik, cepat lupa dan tidak mampu berfikir pantas seperti sebelumnya.

Satu lagi perkara pelik tentang ACTV-1 ini ialah, ia didapati tidak hanya menyerang para perenang atau peminat sukan air. Daripada kajian menunjukkan, mereka yang tidak pernah melakukan aktiviti sukan air juga berisiko dijangkiti oleh virus ini.

Jadi, jangan anggap diri terlalu bijak dan memandang orang lain itu bodoh. Sebabnya, tiada siapa tahu sampai bila kita akan terus memiliki kelebihan itu kerana ia boleh hilang perlahan-lahan tanpa disedari.

_____

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram