PILIHAN Raya Umum Ke-15 (PRU-15) ternyata mencipta kejutan luar biasa apabila ramai calon heavyweight yang dijangka mampu mengekalkan kemenangan tetapi tersungkur di kerusi yang ditandingi masing-masing.

Antara calon yang ‘ditolak’ rakyat dalam pemilihan kali ini ialah bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang tewas di kerusi P.004 Langkawi.

Lebih menyedihkan, Dr Mahathir bukan sahaja tewas buat pertama kali sejak bertanding dalam pilihan raya malah, beliau turut kehilangan deposit dalam pilihan raya kali ini.

Selain itu, Tengku Razaleigh Hamzah turut mencipta kejutan apabila gagal mempertahankan kerusi Parlimen Gua Musang apabila tewas dengan majoriti tipis 163 undi.

Beliau yang lebih dikenali sebagai Ku Li itu merupakan ahli Parlimen yang paling lama berkhidmat iaitu selama 48 tahun sejak 1974.

Di Kedah, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid turut menerima nasib sama apabila gagal mengekalkan penguasaan di kerusi Parlimen Padang Terap.

Mahdzir Khalid tewas kepada calon Perikatan Nasional (PN), Nurul Amin Hamid dengan majoriti 10,959 undi.

Baca lagi: [Rasmi] PRU-15: Mahathir kalah buat pertama kali dalam pilihan raya, hilang deposit di Langkawi

Di Gombak, Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali turut gagal mempertahankan kawasan yang dianggap kubu kuat beliau.

Mohamed Azmin tewas kepada calon PH yang juga Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Kejutan besar juga berlaku di kerusi Parlimen Permatang Pauh apabila penyandangnya, Nurul Izzah Anwar tewas kepada calon PN, Muhammad Fawwaz Mohamad Jan.

Di Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor tewas mengejut kepada calon PN, Datuk Dr Radzi Md Jidin.

Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa juga tewas di Parlimen Parit Buntar yang mana calon PN, Mohd Misbahul Munir Masduki berjaya meraih undi penduduk di situ.

Keputusan undian di kerusi Parlimen Sungai Buloh pula menyaksikan Khairy Jamaluddin tewas kepada dengan majoriti 2,693 undi.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram