“MEMANG benar dan tepat sekali nasihat nenek dan emak saya, kata mereka bila berumah tangga nanti, satu perkara perlu diingat. Kalau kita kurang duit jangan bimbang, berbelanjalah apa yang kita ada, jangan berangan nak hidup senang mahu kelihatan mewah, sebab kalau tersalah langkah akan menyusahkan diri sendiri.

“Contoh kalau suami berbelanja lebih, sedangkan pendapatan sikit akan membuat dia berhutang atau mendapatkan duit cara yang salah. Kalau suami tunjukkan kemewahan pula, akan ada ramai wanita mendekatinya, yang susah bukan sahaja isteri, tetapi anak-anak juga.

“Kata nenek, suami tak boleh ada banyak duit, nanti dia ada banyak rancangan. Bukan nak senangkan anak bini, tetapi untuk keseronokan sendiri dan orang lain. Kalau tak percaya perhatikan kehidupan sesetengah lelaki keliling kita, atau suami sendiri. Mungkin segelintir sahaja berkelakuan seperti ini, namun mereka bukan saja menjahanamkan keluarga, tetapi keluarga orang lain.’’

Demikian nasihat nenek panjang lebar. Waktu itu saya masih anak dara sunti. Walaupun cerita ini sudah lebih 30 tahun lalu, tetapi tetap segar diingatan kami empat beradik. Betapa susahnya hidup kami bersama nenek dan betapa besarnya pengorbanan emak kepada kami semua. Dan saya bawakan kembali nostalgia ini untuk menyedarkan diri sahaja dan juga  pembaca. Lebih penting untuk jadi bahan cerita saya kepada anak-anak buah, demi masa depan mereka.’’ Itu cerita Leena tentang keluarganya. 

“Kata nenek lagi tak payah tengok jauh, lihat perangai ayah kau ketika duduk dengan nenek dulu. Masa ayah kau susah, tidak ada kerja tetap, siapa bantu dia? Bila emak kau dapat kerja kerajaan, dia terpaksa tinggalkan kau empat beradik dengan aku duduk kampung. Ingat tak? Siapa besarkan kau? Bukan nak ungkit, tapi supaya kau ingat. Jadikan iktibar dalam hidup kau!

“Bila ayah kau dapat kerja tetap dengan usaha emak engkau minta tolong dan merayu dengan orang tertentu bagi ayah kau kerja, walaupun jadi peon, siapa yang dia ucap terima kasih, bukan pada emak kau, tetapi pada kawan kawannya.

“Masa dia susah tidak ada kerja, dia cakap dengan mak kau ‘kita makan lauk telur dengan kicap pun cukup Ton, asalkan anak-anak dapat makan. Bersyukur lah Ton.’ Itu kata ayah kau, tapi bila dia senang apa dia buat? Kau sendiri pun tahu, waktu itu kau dah besar.’’ Cerita nenek mengingatkan saya betapa susahnya nak minta duit ayah untuk belanja sekolah. Selalunya ayah suruh minta pada emak, sedangkan ayah sudah bekerja, tetapi kata dia tidak ada duit.

“Nasib baik waktu itu atuk masih ada, dengan sedikit duit atuk jual getah, bolehlah kami makan dan sarapan sebelum pergi sekolah. Di sekolah minum air sejuk, balik baru boleh makan. Begitulah susahnya hidup kami.

“Gaji emak kecil waktu itu, tetapi emak terpaksa bagi sedikit dekat nenek untuk belanja makan minum kami dan bagi ayah buat belanja dia pergi kerja dan duit minyak motor. Inilah yang kami alami masa kecil dulu. Waktu ayah susah belum ada kerja, ayah memang baik, sanggup duduk kampung makan kangkung goreng, bayam rebus dan goreng telur.

“Tetapi setelah ayah dapat kerja tetap, dia pindah rumah duduk dengan kawannya, katanya dekat tempat kerja. Sejak itu, ayah jarang balik tengok kami, pandai pandai kami hidup dengan nenek. Hinggalah bila datok meninggal, barulah emak dapat tukar kerja dan kami semua pindah duduk kat pekan. Sebab nak dekat dengan tempat kerja emak.

“Ketika itu baru saya terasa luas rupanya dunia ini. Walaupun setakat duduk pekan kecil, tapi rasa selesa kalau pun hidup tak senang macam orang lain. Ala kadar saja.

“Bila duduk di pekan, kami fikir tentu ayah duduk sama. Tetapi kata emak, ayah sibuk. Jadi peon pun sibuk. Kata emak tak apalah asalkan ayah ada kerja tetap, tetapi ayah jarang bagi emak duit setiap bulan. Itu yang emak sering mengeluh, gaji emak tak cukup bayar sewa rumah, belanja dapur dan bas sekolah kami.

“Tapi emak rajin berusaha. Dengan bantuan nenek, emak buat nasi lemak dan jual di pejabat pada kawan-kawan yang pesan. Memang laku. Lega rasanya sebab dapat makan nasi lemak setiap hari dan dapat bawa bekal ke sekolah. Ada pula kawan nak beli walaupun sebungkus harga 30 sen. Itu nilai duit dulu, kalau sekarang RM1.50 sudah pasti. Jadi senanglah sikit hidup kami bersama emak dan nenek.

“Kebetulan di tempat kerja emak waktu itu ada kempen pinjam ASN dengan bank. Emak cerita pada nenek, nenek galakkan emak ikut pinjam bank. Kata nenek ini ASN rancangan kerajaan, takkan kerajaan nak tipu. Kalau nak simpan banyak mana nak ada duit, tapi kalau pinjam bank senang bayar ansur. Nenek galakkan, nak harapkan duit ayah tak nampak bayang langsung.

“Nak dijadikan cerita satu hari tahun 1990 (agaknya), emak cakap pada nenek emak dapat banyak untung bila simpanan ASN bertukar ke ASB dan nilai keuntungannya meningkat berkali ganda. Nasihat nenek jangan keluarkan duit itu, biar simpan aja, mana tahu ada keuntungannya nanti. Saya yang tak paham dengar je.

“Tetapi entah macam mana, ayah dapat tahu. Ayah minta pinjam sikit nak beli motor baru, tak sampai tiga bulan ayah jual motor beli kereta. Sukanya kami ayah ada kereta. Tetapi nenek tarik muka, emak sedih. Kenapa saya tak faham? Tapi nenek sindir emak, yang pinjam duit hari tu dah bayar ke? Ni dah beli kereta pula, esok lusa pinjam lagi. Lama lama habis kata nenek.

“Emak cerita pada saya, ayah tak bagi duit belanja makan minum di rumah. Kalau pun bagi dekat hujung bulan, ayah datang minta pinjam pula. Ayah tahu emak ada duit sebab masih jual nasi lemak. Pendek kata duit gaji tak habis pakai, kata ayah.

“Kerana waktu itu saya sudah remaja, saya sering dengar emak dan ayah bertengkar pasal kereta. Memang sejak ada kereta, langkah ayah semakin jauh. Ramai kawan nak tumpang. Tak kira lelaki mahupun isteri orang, apa lagi yang anak dara, semua ayah angkut.

“Waktu itulah ayah jadi popular sebab ramai dapat kemudahan tumpang kereta bila nak balik rumah. Ego ayah tambah tinggi bila dia pandai buat kerja luar, sambar apa sahaja bila ada orang minta tolong di pejabatnya.

“Kami dapat tahu, sejak ada kereta ramai orang percayakan ayah, terutama setelah ayah jadi kerani. Kononnya ayah dapat banyak peluang buat kerja luar. Dan dia dapat upah bila pertolongan ditagih orang. Dengan duit kerja luar inilah gaya hidup ayah berubah. Baik bila bercakap, berpakaian, perangai dan bahasanya, pantang emak tanya ayah tengking. Ayah tak suka duduk dengan kami, katanya emak suka membebel. Sebenarnya ayah senang nak keluar tiada siapa larang. Bila duit banyak ayah jadi tak sedar diri, kata emak.

“Kerana kami duduk pekan kecil, tak hairanlah emak tahu aktiviti ayah sebab ramai jadi reporter tak bergaji. Mereka kata ayah ada teman wanita. Bila emak tanya ayah nafikan. Emak menangis bila mengadu pada nenek. Nenek kata itu salah emak sendiri kerana terlalu ikut karenah suami. Kalau perangai ayah tak betul, takkan nak diamkan.

“Akhirnya emak bertindak tetapi sudah terlewat, aktiviti ayah semakin teruk. Walaupun usia ayah hampir  50 tahun tetapi sanggup bercinta dengan isteri orang. Yang si bini orang itu pun tak takut langsung dosa dan balasan Allah. Kerana tak mahu ayah terus berdosa, emak pergi ke pejabat ayah nak nasihatkan wanita tersebut. Tetapi ada pula tali barut’ beritahu ayah. Ayah turun dan heret emak balik rumah. 

“Sampai di rumah mereka bukan saja bertengkar tetapi berperang, ayah pukul dan tampar emak sehingga jatuh dan berdarah. Rupanya ini bukan kali pertama, kata nenek masa saya di asrama emak selalu kena pukul. Bila emak buat report, ayah sumpah minta ampun jangan report polis sebab takut kena buang kerja.

“Ayah takutkan emak kalau ayah naik mahkamah, anak-anak akan malu. Fikirkan masa depan dua orang anak dara dalam rumah ini. Jadi emak terdiam. Sebab itu ayah besar kepala, salah sikit tengking dan pukul emak. Kerana itu apa pun berlaku dalam hidup emak, nenek salahkan emak. Sebab emak bagi muka dengan ayah.

“Pernah emak jumpa doktor kerana cedera teruk ayah pukul. Doktor suruh emak buat laporan polis tetapi ayah sembah emak lagi. Dia janji tak buat lagi. Tetapi bila buat dosa manisnya umpama madu, ayah masih tak sedar diri dan lupa dengan balasan Allah. Ayah tetap teruskan aktiviti, entah mengapa suka sangat bercinta dengan bini orang.

“Walaupun balik rumah sebulan dua kali, tetapi setiap kali balik mereka mesti bertengkar hingga kata nenek, dia rasa nak pindah rumah. Sebab bukan saja malu tetapi hati nenek hancur kerana nenek kasihan tengok hidup emak tak pernah senang sejak muda hingga tua.

“Waktu muda membanting tulang bekerja dan berniaga demi menyara makan minum anak-anak dan bantu suami, bagi duit poket lagi. Tapi bila suami dapat kerja, bukan nak tolong isteri, sebaliknya menghaburkan duit ringgit menyenangkan hidup orang lain. Bila duit habis minta duit bini. Itu yang membuat nenek sedih dengan nasib emak. 

“Kata nenek entah bila hidup emak akan senang. Saya janji pada nenek bila sudah bekerja saya akan selesaikan masalah ini atau mungkin ayah berubah setelah bersara.

“Tetapi sayang sekali, belum pun setengah tahun saya bekerja, nenek meninggal dunia. Perangai ayah tetap sama malah semakin rancak walaupun selepas bersara. Saya tak faham apa yang ayah buat hingga orang suka minta pertolongan dia. Dengan upah yang dia dapat, ayah tetap hidup seperti biasa. Tetapi sejak akhir-akhir ini ayah sudah pindah duduk rumah emak, konon nak duduk rumah yang emak baru beli.

“Agaknya kerana perangai ayah seperti ini hati saya tak terbuka nak kahwin walaupun usia sudah 30 tahun. Sebab saya takut dapat suami macam perangai ayah. Tapi nasihat emak, bukan semua wanita bernasib malang, ada yang bahagia. Tetapi saya kurang yakin, rasanya saya lebih bahagia hidup sendiri.’’ Itu cerita Leena yang lega tanpa teman lelaki, hajatnya nak bahagiakan hidup emaknya yang banyak berkorban untuk keluarga sejak mula kahwin.”