manusia tidak nampak jin

Bagaimana makhluk halus mampu melihat manusia sedangkan sebaliknya manusia tidak ramai yang mampu melihat makhluk halus dengan mata kasar.

Begini penjelasannya, menurut Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib dan Disiplin Persatuan Kebajikan dan Perubatan Islam Darussyifa, Bandar Baru Bangi, Abdul Rashid Ahmad, bukan semua makhluk halus sentiasa menyakiti manusia.

Ada makhluk halus yang beragama Islam dan ada juga yang kafir. Makhluk halus yang beragama Islam dan beramal soleh tidak akan menyakiti makhluk-makhluk lain.

Artikel berkaitan: Hati-hati dengan gangguan pelesit, ia ada di sekitar kita

“Sebenarnya Allah S.W.T. menganugerahkan suatu rahmat yang amat besar kepada manusia apabila manusia tidak mampu melihat makhluk halus. Oleh sebab itu manusia dilahirkan dengan ‘hijab’ atau penutup pada mata yang menjadi penghalang manusia daripada melihat makhluk halus.

“Sekiranya manusia mampu melihat makhluk halus, pastinya keadaan manusia tidak akan tenteram, sentiasa terancam dan diancam. Bayangkanlah kalau kita hendak tidur pun masih terlihat rupa-rupa mereka yang menakutkan di sekeliling kita.

“Jangan anggap kita tidak boleh melihat makhluk halus bermakna kita tidak boleh mempertahankan diri. Ada caranya untuk mempertahankan diri iaitu dengan mendekatkan diri kepada Allah dan memohon perlindungan daripada-Nya sebagaimana firman Allah,

“Dan jika kamu ditimpa sesuatu gangguan atau godaan dari syaitan, maka pohonlah perlindungan kepada Allah. Sesungguhnya Dia Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” (al-A’raf: 200)

Pelesit makhluk halus yang nakal

Sebagaimana yang disebut dalam artikel sebelum ini berkaitan pelesit, ia merupakan antara makhluk halus yang tidak susah untuk keluar dari badan manusia setelah dipaksa, berbanding dengan makhluk halus lain seperti hantu raya, jembalang dan lain-lain, ia agak keras dan degil, tetapi pelesit boleh di sifatkan sebagai makhluk halus yang nakal.

Seperti yang tertulis dalam kamus dewan, makhluk halus diertikan sebagai hantu, bunian, jembalang, puntianak, langsuir dan juga pelesit yang merupakan roh jahat yang merasuk dan melakukan pelbagai kemudaratan kepada manusia.

Kesemua istilah ini terkenal dalam budaya masyarakat Melayu. Manakala bagi masyarakat lain seperti Arab, mereka sering menggunakan istilah seperti al-jinn, jinni, jinnah, syaitan, iblis, ifrit dan sebagainya.

Namun, nama-nama makhluk halus yang sering digunakan oleh masyarakat Melayu sama sahaja dengan masyarakat Arab iaitu suatu makhluk yang tidak boleh dilihat dengan mata kasar atau hanya boleh dilihat dalam keadaan tertentu sahaja.

Apa yang pasti, semua itu merupakan roh-roh kotor atau jahat yang melakukan kejahatan secara tersembunyi dan menakutkan anak-anak Adam dengan pelbagai cara.

Walau apa sekalipun istilah yang digunakan, pelesit juga tergolong dalam sejenis makhluk halus dan ia memang wujud dan wajib dipercayai. Cuma yang membezakan makhluk halus ini adalah dari segi sebutan dan istilah yang digunakan. Sedangkan kesemuanya adalah makhluk halus.

Dengan izin Allah

Menurut Abdul Rashid lagi, dari segi teorinya, air liur pelesit tersebut boleh mendatangkan bisa terhadap badan dan secara tidak langsung mengganggu kesihatan manusia. Selain lebam yang ditinggalkan, ada tanda-tanda lain yang boleh dikenal pasti akibat daripada gangguan dan gigitan pelesit. Antara tandanya seperti rambut seseorang itu gugur keterlaluan daripada biasa.

Selain itu, mereka yang terkena gangguan pelesit juga sering kali hilang selera makan dan menyebabkan badan menjadi kurus mendadak, mudah menjadi pelupa dan hilang seri muka.

Namun berdasarkan kepada al-Quran, makhluk halus tidak berupaya untuk mengenakan kemudaratan, kesusahan dan kepayahan kepada manusia melainkan dengan izin Allah seperti firman Nya,

“Padahal mereka tidak akan dapat sama sekali memberi mudarat (atau membahayakan) dengan sihir itu seseorang pun melainkan dengan izin Allah. Dan sebenarnya mereka mempelajari perkara yang hanya membahayakan mereka dan tidak memberi manfaat kepada mereka.” (al-Baqarah: 102)

_________________________________________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram