Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. GAMBAR: Abd Razak Aid

PRESIDEN UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi perlu meletakkan jawatan dengan segera ekoran prestasi buruk dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Gesaan itu disuarakan Pengarah Operasi Pilihan Raya Barisan Nasional (BN) Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dalam hantaran di Facebook.

Menurut Onn Hafiz, langkah itu sebagaimana dilakukan Datuk Seri Najib Tun Razak yang telah berjiwa besar meletakkan jawatan sebagai Presiden pada 2018.

Onn Hafiz berkata, UMNO dan BN perlu berani membuat perubahan ke arah kebaikan demi masa depan parti itu.

Kata beliau, usaha untuk memulih dan memperbaiki parti tersebut perlu bermula daripada sekarang.

“Jika kita tidak berubah sekarang, kita tidak akan memenangi satu kerusi pun pada masa akan datang.

“Insya-Allah, tindakan berjiwa besar besar ini akan membantu kita mengambil langkah pertama untuk memulihkan dan menguatkan kembali parti UMNO yang kita semua cintai ini.

Baca artikel berkaitan: Zahid Hamidi kata dulu pun Bossku disalahkan juga… 

“Segala pengorbanan mereka akan dihargai dan Insya-Allah, perjuangan ini akan diteruskan.

“Semoga Allah SWT merestui dan merahmati perjuangan serta pengorbanan kita semua,” katanya dalam hantaran tersebut.

Mengulas lanjut, Onn Hafiz yang juga Menteri Besar Johor berkata, semua pihak sedia maklum bahawa tsunami politik orang Melayu telah berlaku di mana UMNO telah rebah.

Malah, kata beliau, UMNO dan BN hanya menang sembilan kerusi Parlimen di Johor manakala tiada satu pun berjaya dimenangi di Perlis; Kedah; Pulau Pinang; Melaka; Kelantan mahu pun Terengganu.

“Walaupun pahit untuk ditelan, pemimpin UMNO termasuk saya sendiri perlu kembali mendengar suara rakyat yang telah diterjemahkan melalui undi mereka semasa PRU-15 semalam.

“Ramai pemimpin UMNO, MCA dan MIC yang berkaliber serta berpotensi terkorban kerana kita tidak mahu mendengar denyut nadi akar umbi,” jelas beliau.

Dalam keputusan PRU-15 yang diumumkan sehingga awal pagi tadi, BN hanya berjaya memperoleh 30 kerusi Parlimen, jumlah paling rendah dalam sejarah.

Pada PRU-14 lalu, UMNO menang di kerusi 54 Parlimen.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram