Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama pimpinan tertinggi Perikatan Nasional mengadakan sidang media ketika Mengumumkan Keputusan Pilihan Raya ke 15 di Shah Alam, hari ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

PERIKATAN Nasional (PN) mendedahkan telah pun menerima surat daripada Istana Negara berhubung pembentukan kerajaan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15). 

Perkara itu diumumkan  Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam sidang media, hari ini. 

Bagaimanapun, Muhyiddin tidak mendedahkan secara terbuka berhubung kandungan surat daripada Istana Negara itu. 

Pada masa sama, Muhyiddin yang juga calon Perdana Menteri PN memaklumkan, beliau juga berharap perkara tersebut dapat dimuktamadkan selewat-lewatnya petang esok. 

“Kita juga ada terima surat daripada Istana Negara. Kandungannya tak payah kita sebutkan (kerana) ia telah memberi kepada kita perkara-perkara yang perlu kita sempurnakan mengikut kehendak Yang di-Pertuan Agong. 

“Jadi, kita tak perlu dedahkan. Perkara ini memerlukan kita mengambil langkah secepat mungkin, bermakna sebahagian daripada perbincangan yang kita lakukan esok dan berharap dapat dimuktamadkan sebelum petang esok,” katanya dalam sidang media itu. 

Baca artikel berkaitan: PRU-15: Tidak! PN tolak kerjasama dengan PH

Mengulas lanjut, beliau menyatakan rasa syukur apabila PN memperoleh 73 kerusi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Katanya, kemenangan itu termasuk 22 calon yang menggunakan lambang PAS ketika bertanding di Kelantan dan Terengganu.

“Terima kasih pada semua para pengundi di seluruh negara yang telah memberikan sokongan padu kepada PN.

“Gelombang sokongan rakyat kepada PN terutama pengundi muda telah membolehkan PN memperoleh kejayaan luar jangka.

“Kita harap dengan PN mengetuai kerajaan ini maka kita akan dapat melahirkan suasana politik negara yang paling stabil,” katanya lagi.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram