SHAHRIL HAMDAN

DESAKAN supaya Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berundur secara terhormat selepas Barisan Nasional (BN) mengalami kekalahan terburuk dalam sejarah pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) semakin kuat kedengaran.

Kali ini, permintaan itu hadir daripada Ketua Penerangan UMNO sendiri iaitu Shahril Sufian Hamdan.

Dalam kenyataan hari ini, Shahril berpandangan Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN perlu memaparkan contoh dengan memimpin proses mengambil tanggungjawab kekalahan tersebut.

Pada masa sama, Shahril turut bertindak meletakkan jawatan selaku Ketua Penerangan UMNO.

Bagaimanapun, Shahril yang tewas di kerusi Parlimen Alor Gajah itu menegaskan kekal setia bersama UMNO.

Kata beliau, pengunduran Ahmad Zahid diperlukan supaya kepimpinan dan individu lain memimpin perbincangan menentukan keputusan besar seterusnya buat parti itu.

“Saya sependapat dengan Menteri Besar Johor (Datuk Onn Hafiz Ghazi) iaitu tanpa mengurangkan hormat kepada beliau sebagai individu, saya berpandangan bahawa pemimpin nombor satu, Presiden UMNO dan Pengerusi BN perlu memaparkan contoh dengan memimpin proses mengambil tanggungjawab kekalahan ini – berundur secara terhormat.

“Atas semangat collective responsibility itu, saya juga meletakkan jawatan selaku Ketua Penerangan UMNO.

“Saya menghargai peluang yang telah diberikan dan tidak akan melupakannya. Cuma ini soal maslahat yang jauh lebih besar.

Baca artikel berkaitan: PRU-15: Ahmad Zahid perlu letak jawatan segera – Onn Hafiz

“Seperti ramai yang lain, saya kekal setia bersama UMNO. Perjuangan parti belum selesai. This is not the end (Ini bukan pengakhiran),” jelas beliau dalam kenyataan itu.

Mengulas lanjut, Shahril menegaskan pengunduran Ahmad Zahid itu perlu menjadi perkara utama sebelum BN mahu mengadakan perbincangan atau membuat apa-apa keputusan tentang menyertai pembentukan kerajaan.

“Benar, ada konsep collective responsibility dalam sesuatu kegagalan.

“Benar, UMNO perlu mempertimbang apa langkah seterusnya dalam situasi tiada pihak mencapai angka 112 di PRU-15.

“Benar, keputusan ini besar dan perlu dibuat oleh Majlis Kerja Tertinggi, bukan mana-mana individu atau kelompok sahaja,” katanya.

BN mengalami kekalahan terburuk buat pertama kali dalam sejarah sepanjang siri pilihan raya apabila hanya meraih 30 kerusi Parlimen, kurang 24 kerusi berbanding PRU-14.

UMNO sebagai parti dominan dalam BN hanya memperoleh 26 kerusi diikuti MCA dengan dua kerusi; MIC (satu kerusi) dan satu lagi dimenangi Arthur Joseph Kurup dari Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS).

Shahril turut tewas di kerusi Parlimen Alor Gajah kepada calon Pakatan Harapan (PH), Adly Zahari dengan majoriti tipis 890 undi.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram