YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. - Gambar Bernama

PROSES bagi ketua parti politik dan gabungan parti politik mengemukakan gabungan parti-parti politik bagi pembentukan kerajaan baharu dan calon Perdana Menteri dilanjutkan sehingga 2 petang esok.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin berkata perkara itu telah diperkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah susulan permohonan ketua parti politik dan gabungan parti politik yang diterima Istana Negara hari ini.

“Seri Paduka Baginda menyeru dan menasihati seluruh rakyat bersabar dan bertenang sehingga proses pembentukan kerajaan baharu dan pencalonan bakal Perdana Menteri selesai,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahmad Fadil berkata Al-Sultan Abdullah turut mengingatkan bahawa pentadbiran negara masih berjalan seperti biasa di bawah pengurusan Perdana Menteri Sementara atau “Caretaker Prime Minister” berdasarkan prinsip-prinsip yang digariskan bagi kerajaan sementara.

“Seri Paduka Baginda menyeru rakyat untuk bersama mendoakan semoga proses pembentukan kerajaan baharu dan pencalonan bakal Perdana Menteri Malaysia ini dipermudahkan dan berjalan lancar demi kepentingan negara,” katanya.

Baca artikel lain: Siapa bentuk kerajaan? Istana Negara jadi tumpuan

Seri Paduka turut menyeru rakyat supaya bersama-sama mendoakan semoga Malaysia dirahmati dan diberkati serta dilindungi daripada sebarang bentuk bencana dan musibah.

Semalam, Yang di-Pertuan Agong menitahkan semua ketua parti politik dan gabungan parti politik yang mendapat jumlah kerusi yang banyak pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), memaklumkan kepada Istana Negara mengenai gabungan parti, dan menamakan calon Perdana Menteri yang dipersetujui untuk membentuk kerajaan baharu sebelum 2 petang, hari ini.

PRU15 berakhir dengan situasi Parlimen tergantung apabila tiada parti atau gabungan parti politik mendapat majoriti mudah untuk membentuk kerajaan Persekutuan.

PRU15 pada Sabtu lepas menyaksikan gabungan parti antaranya Pakatan Harapan (PH) memperoleh 82 kerusi Parlimen, Perikatan Nasional (73), manakala Barisan Nasional (30).

Majoriti mudah untuk membentuk kerajaan adalah 112 kerusi.

— BERNAMA

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram